Jumat, 30 Oktober 2009

Rombongan Dari Perak Bertemu PKPMI-CA

PKPMI-CA sangat berbesar hati kerana dikunjungi oleh rombongan dari Negeri Perak Darul Ridzuan yang tiba dalam misi melawat Aceh atas nama Koperasi Masjid (KOMAS) Safar Travel & Tours. Dimaklumkan, KOMAS yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nor Al-Hafiz saat ini baru berusia sekitar 1 bulan setengah setelah penubuhannya tanggal 17 Sept lalu.

Majlis ramah mesra antara rombongan dari Negeri Perak ini, telah dihadiri hampir 150 orang mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang menuntut di IAIN Ar-Raniry. Saat ini, sebahagian dari mahasiswa Malaysia di Fakultas Syariah masih berada di lokasi praktikal Kuliah Pengabdian Masyarakat (KPM) yang bertempat di daerah Aceh Singkil, Aceh Tamiang dan Takengon.

Pertemuan yang dirancang dalam masa yang singkat, namun berjalan dengan baik itu diisi dengan ucapan oleh wakil YDP PKPMI-CA yang menerangkan sedikit sebanyak mengenai PKPMI-CA dan kondisi mahasiswa Malaysia di sini. Kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Al-Fadhil Ust Ibrahim Mahmud yang merupakan seorang mudir disebuah sekolah di Negeri Perak. Antara lain, beliau menyampaikan peri pentingnya golongan mahasiswa agama yang bakal pulang sebagai ulama yang sedang dinantikan oleh masyarakat.

Turut menyampaikan ucapan pada malam tadi adalah Pengerusi PERKIM Negeri Perak iaitu Dato’ Abu Bakar Syaari dan juga Dr Zulkarnain yang merupakan bekas pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Perak.

Majlis berakhir dengan sumbangan zakat kepada mahasiswa Malaysia yang disampaikan oleh Ust Mohd Noor bin Embee yang juga antara ahli rombongan tersebut. PKPMI-CA juga menerima sedikit sumbangan bagi menjayakan ibadah Qurban yang bakal diadakan tanggal 27 Nov ini.

Kami dimaklumkan, rombongan ini akan bertolak pulang ke Malaysia pada hari ini setelah tiba di Aceh pada hari Rabu kelmarin.

Minggu, 25 Oktober 2009

Mahasiswa Malaysia Fak.Ushluddin Sertai SALAM 2009

Hampir 50 mahasiswa di Fakultas Ushuluddin dari pelbagai jurusan menyertai program rehlah anjuran pihak Musholla Az-Zilal, Fak.Ushuluddin hari ini. Program yang diberi nama SALAM atau ringkasan dari ‘Semangat Anda Langkah Anda Menuju Musholla Az-Zilal’ adalah acara tahunan sebagai wasilah bagi menyediakan anggota baru yang sedia untuk bersama dengan aktivitas dakwah kampus khasnya di Fak.Ushuluddin.

Program ini telah dirasmikan oleh Pembantu Dekan 3 Fak.Ushuluddin, Ibu Juwaini sekitar jam 08.00 pagi dan setelah itu, peserta langsung bergerak ke tapak program di Pantai Lhoknga tepat jam 09.00. Perjalanan ke lokasi program menggunakan bas dengan melintasi Banda Aceh mengambil masa sekitar 45 minit dicampur dengan kesesakan lalu lintas di tengah kota.

Dengan tema ‘Bersama Az-Zilal Membentuk Mahasiswa Ushuluddin Bertaqwa dan Berakhlak’, program singkat dari pagi dan berakhir sehingga jam 5.00 petang tadi berjaya dilaksanakan dengan baik. Para peserta dan panitia dihidangkan dengan 2 kuliah lapangan mengenai persaudaraan Islam, akhlak dan tanggungjawab mahasiswa dalam aktivitas dakwah kampus oleh Bapak Fauzi Saleh yang merupakan salah seorang dosen (pensyarah) di Fak.Ushuluddin dan Al-Akh Muhammad Fadhlullah, pengkuliah ke-2 yang merupakan Peng.Biro Dakwah & Pembangunan Insan PKPMI-CA 09/10 yang juga mahasiswa di Fak.Ushuluddin.

Selain itu, para peserta juga dilibatkan dalam beberapa game yang berkonsepkan ukhwah, kerjasama, kreativiti dan keyakinan diri. Di pengakhiran program, para peserta dipecahkan kepada beberapa Usrah atau Halaqah (kelompok) – (istilah di kampus Indonesia) dan diamanahkan beberapa naqib dan naqibah untuk terus bersama mereka selepas selesai program SALAM ini. Mahasiswa Malaysia turut kelihatan meluangkan masa untuk bersama dalam acara ini. Acara bertambah meriah dengan kebersamaan yang ditunjukkan oleh Presiden Lembaga Dakwah Kampus (LDK), Sdr.Zubir yang hadir dalam acara hari ini.

Sabtu, 24 Oktober 2009

QURBAN BERSAMA MASYARAKAT NANGGROE ACEH DARUSSALAM

Dengan tema ‘ Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul’ Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia Cawangan Aceh ( PKPMI-CA ) 2009 / 2010 telah merangka sebuah program ibadah Qurban di bumi Aceh Darussalam. Maklumat mengenai program tersebut adalah seperti berikut :

Tarikh : 27 Nov 2009 / 10 Zulhijjah 1430.

Anjuran : Panitia pelaksana dan seluruh ahli PKPMI-CA.

Sasaran : Mangsa Tsunami (26 Dis 2004) dan konflik, masyarakat sekitar Darussalam ( sekitar kampus IAIN Ar-Raniry dan mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry.

Jumlah : Sekitar 1200 orang.

Objektif :

a) Berkongsi rasa dan kedukaan bersama mangsa korban Tsunami dan konflik.

b) Berkongsi kegembiraan dan kasih dengan saudara seiman di Aceh

c) Membantu penyaluran haiwan Qurban dari kaum Muslimin.

d) Merapatkan silaturrahim dengan seluruh mahasiswa Malaysia di perantauan.

Maklumat mengenai haiwan korban dan kos-kosnya adalah seperti berikut :

a) Keperluan haiwan Qurban adalah 2 ekor lembu dan 4 ekor kambing dengan perkiraan anggaran dana sebanyak :

No

Perkara

Per / Bahagian

Kuantiti Haiwan

Jumlah

1

Lembu

Satu bahagian =

RM 514.28 x 7 bahagian

RM 3600 x 2 ekor lembu = RM 7200

RM 7200.00

2

Kambing

1 ekor kambing RM 540.

RM 540 x 4 ekor kambing = RM 2160

RM 2160.00


JUMLAH



RM 9360.00

b) Keperluan Dana Jamuan

No

Perkara

Kuantiti

Jumlah

1

Beras

RM 30.00 x 10 kampit

RM 300

2

Sayur-sayuran

RM 200

RM 200

3

Rempah Ratus

RM 100

RM 100

4

Ikan Kering

RM 100

RM 100

5

Perlengkapan

RM 200

RM 200

6

Awasan

RM 200

RM 200

7

JUMLAH


RM 1100


Dana yang diperlukan : RM 10, 460.00.

Catatan : Kadar tukaran wang terkini RM 1.00 = Rp 2750.

Sumbangan anda boleh disalurkan ke : 033 – 133711 – 025 ( HSBC ) atas nama Mohamad Azzar bin Ismail.

Jika ada yang ingin menyertai bahagian dari korban ini, sila hubungi YDP PKPMI-CA, Mohamad Azzar ( +6287890305903 ) atau Pengarah Program, Ikram ( +6281919792886 ) atau wakil kami di Malaysia : Anuar ( +60139694922 ).

Bagi sahabat-sahabat Mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh disampaikan kepada Al-Akh Muhammad Fadhlullah ( KD Sumbangan dan Infaq ) bagi Muslimin atau Al-Ukht Aisyah bt Nordin ( Tim.KD Sumbangan dan Infaq ) bagi Muslimat atau terus kepada Al-Akh Mohd Ikram bin Ramli ( Pengarah ) atau Al-Ukht Roslina bt Mohamad ( Tim.Pengarah ).

Minggu, 18 Oktober 2009

Catatan Kegiatan Mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry

19 Okt 2009 :

Perjalanan Usrah Mingguan untuk seluruh mahasiswa Malaysia yang dikelolakan oleh Biro Dakwah & Pembangunan Insan PKPMI-CA dimulai. Naqib dan Naqibah adalah dikalangan pimpinan PKPMI-CA khasnya mereka yang berada ditahun terakhir.

17 Okt 2009 :

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan Pengerusi-Pengerusi Biro PKPMI-CA bagi membincangkan program Qurban Bersama Masyarakat Aceh yang dijadualkan akan berlangsung pada 27 Nov 2009 nanti. Program ini disasarkan kepada mangsa Tsunami dan konflik, masyarakat kampung sekitar Darussalam (sekitar kampus IAIN Ar-Raniry) dan mahasiswa Malaysia. Al-Akh Mohd Ikram bin Ramli ( Peng.Biro Kebajikan, Keselamatan dan Kediaman ) diamanahkan menjadi pengarah program korban ini dengan dibantu oleh Al-Ukht Roslina bt Mohamad ( Tim.Peng.II Biro Kebajikan, Keselamatan dan Kediaman ) sebagai timbalan pengarah.

16 Okt 2009 :

Majlis Taklimat khas kepada Nuqaba’ dan Naqibat Usrah Mingguan untuk mahasiswa baru dari Malaysia. Taklimat disampaikan oleh Peng.Biro Dakwah & Pembangunan Insan.

15 Okt 2009 :

Mahasiswa Malaysia di Fakultas Syariah bergerak ke lokasi Kuliah Pengabdian Masyarakat (KPM) untuk gelombang yang pertama bersama mahasiswa-mahasiswa daripada Aceh yang menuntut di IAIN Ar-Raniry. Lokasi KPM kali ini di Aceh Tamiang, Aceh Singkil, Kota Cane, Takengon dan Subulussalam. Masa yang diambil untuk tiba di Aceh Singkil, Aceh Tamiang dan Subulassalam lebih 1 hari setengah dan terpaksa melewati muka bumi Medan terlebih dahulu. KPM adalah program praktikal bagi mahasiswa tahun akhir disini yang mengambil masa selama 45 hari lamanya.

14 Okt 2009 :

Majlis Ta’aruf seluruh pimpinan PKPMI-CA bersama mahasiswa baru dari Malaysia yang tiba pada Ogos 2009 yang lalu. Majlis ini terpaksa ditunda agak lewat kerana setibanya mahasiswa baru pada Ogos lalu, sebahagian besar pimpinan PKPMI-CA dari Fakultas Ushuluddin sedang berada di lokasi Kuliah Pengabdian Masyarakat.

11 Okt 2009 :

PKPMI-CA telah diundang khas ke studio Radio Antero yang terletak di Ulee Kareng, Banda Aceh didalam acara ‘Brifing Campus’ yang merupakan siaran mingguan setiap pagi Ahad, jam 09.00 pagi. PKPMI-CA diwakili oleh Al-Akh Mohd Zaim Irsyad bin Zainal Abidin ( Peng.Biro Informasi dan Hubungan Luar ) dan Al-Ukht Nurul Najwa bt Muhamad ( Peng.Hal Ehwal Wanita Islam –Helwani ). Antara lain, mereka diwawancara mengenai perkembangan terkini mahasiswa Malaysia di Aceh, mengapa IAIN Ar-Raniry menjadi pilihan, perkembangan Malaysia dan sebagainya. Pendengar radio tersebut yang kebanyakannya dikalangan mahasiswa turut membuat panggilan untuk mengemukakan beberapa persoalan kepada wakil PKPMI-CA

08 Sept 2009 :

Hari Ukhwah Islamiyyah (HUI) untuk mahasiswa baru daripada Malaysia dilaksanakan di Aula Biro Rektor IAIN Ar-Raniry. Program setengah hari yang diisi dengan taklimat dari pimpinan PKPMI-CA, Forum Mahasiswa dan pelbagai aktiviti ini dirasmikan oleh Bapak Nasir Budiman, Pembantu Rektor I IAIN Ar-Raniry yang juga merupakan penasihat PKPMI-CA. HUI yang dilaksanakan dalam bulan Ramadhan tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Rabithah serta Ifthor Jama’ie dan Solat Maghrib bersama.

07 Sept 2009 :

Mahasiswa Malaysia di Fakultas Ushuluddin selesai mengikuti KPM kha untuk mahasiswa Malaysia sahaja selama 45 hari bertempat di Kecamatan Montasik, Kabupaten Aceh Besar, Nanggroe Aceh Darussalam.

Ogos 2009 :

Tempoh kehadiran mahasiswa baru dari Malaysia.

24 Julai 2009 :

Bermula KPM mahasiswa Malaysia di Fakultas Ushuluddin seramai 39 Muslimin dan Muslimat.

Maklumat Terkini Mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry

Jumlah terkini mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry yang merupakan lepasan dari pelbagai pusat pengajian di Malaysia yang tiba pada Ogos 2009 yang lalu adalah seperti berikut :

KIAS, Kelantan Darul Naim : 13 Muslimin dan 11 Muslimat.

KIPSAS, Pahang Darul Makmur : 1 Muslimin dan 4 Muslimat

UNITI, Negeri Sembilan Darul Khusus : 3 Muslimin dan 1 Muslimat

MARSAH, Johor Darul Takzim : 9 Muslimin dan 2 Muslimat

Ma’ahad Tahfiz Malim Nawar, Perak Darul Ridzuan : 7 Muslimin.

Taman Pengajian Islam, Terengganu Darul Iman : 1 Muslimin dan 2 Muslimat.

Persendirian : 1 Muslimin dan 2 Muslimat

Jumlah mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry yang merupakan lepasan dari pelbagai pusat pengajian di Malaysia yang tiba pada Ogos 2008 yang lalu adalah seperti berikut :

KIAS, Kelantan Darul Naim : 117 Muslimin dan Muslimat

Ma’ahad Tahfiz Malim Nawar, Perak Darul Ridzuan : 11 Muslimin.

Jumlah keseluruhan mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry sekarang telah melebihi 200 orang termasuk sejumlah mahasiswa dari Madrasah Ibtida’iyah, Kedah Darul Aman yang telah menuntut disini bermula pada tahun 2007 yang lalu. Sebelumnya, mahasiswa daripada Malaysia telah ada di sini dan pasca konflik antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) era Presiden Suharto sehinggalah Presiden Megawati dan berakhir sepenuhnya pada tahun 2005 di era Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, mahasiswa Malaysia terpaksa pulang. Kepulangan mahasiswa Malaysia juga berlaku pasca Tsunami 26 Dis 2004.

Maka, senarai diatas adalah senarai terbaru mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry selepas pembangunan di Aceh dibangunkan semula selepas Tragedi Tsunami.