Sabtu, 28 November 2009

Majlis Qurban Bersama Masyarakat Aceh Berjaya

Setelah bertungkus lebih sebulan lamanya merencana dan bekerja bagi menjayakan Majlis Sambutan ‘Idul Adha 1430 Hijrah bersama anak yatim dan masyarakat Aceh, akhirnya kerja keras dari seluruh panitia pelaksana ibadah qurban PKPMI-CA bersama seluruh ahlinya berjaya melaksanakan program tersebut dengan jayanya tanggal 27 Nov 2009 / 10 Dzulhijjah 1430 Hijriyyah, semalam ( Jumaat ).

Program ibadah qurban ini yang dilaksanakan di Aceh Community Service ( ACR ) ini merupakan anjuran bersama antara PKPMI-CA dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia ( PERKIM ) Cawangan Kuala Muda, Kedah yang diketuai oleh Hj Abdul Hamid yang sebelumnya telah tiba di Aceh sekitar sebulan yang lalu bagi membincangkan program ini bersama pihak pimpinan PKPMI-CA. Sekitar 30 orang ahli rombongan yang tiba di Aceh pada hari Khamis bersama Pengarah PERKIM Kuala Muda ini. Dimaklumkan bahawa dikalangan mereka adalah peserta yang mengambil bahagian dalam ibadah qurban tersebut.

Sebahagian besar ahli PKPMI-CA telah berkampung di ACR sejak petang Khamis lagi bagi melakukan beberapa tugasan segera yang perlu diselesaikan. Selebihnya hadir pada malam tersebut dan pagi program ibadah qurban dijalankan. Kedudukan ACR dari kampus IAIN Ar-Raniry, Darussalam, Banda Aceh memakan masa 20 minit perjalanan menggunakan motosikal.

Selesai solat Idul Adha dimasjid berdekatan pada jam 07.40 pagi ( 08.40 Malaysia ), seluruh mahasiswa Malaysia membantu urusan penyembelihan, melapah dan memotong daging 2 ekor lembu yang disembelih oleh Teungku ( Ustaz ) di kampung berkenaan. 1 ekor lembu dibahagikan daging-dagingnya kepada semua kepala keluarga di kampung berkenaan dan anak-anak yatim dan seekor lagi dimasak untuk dijamu kepada masyarakat setempat, anak yatim, mahasiswa Malaysia, rombongan PERKIM dan sebagainya. Jenis masakan digabungkan antara versi Malaysia dan Aceh sehingga tetatmu yang tiba memuji masakan dari Malaysia tersebut.

Majlis rasmi dimulai pada jam 02.00 petang seusai solat Juma’at dengan kehadiran masyarakat dan anak-anak yatim yang menetap di ACR. Anak yatim ACR adalah anak-anak korban Tsunami dan konflik GAM-TNI beberapa tahun lalu. Mengambil bahagian dalam ucapan adalah Hj Abdul Hamid sendiri dan juga Teungku Imam dikawasan tersebut. Dalam ucapannya, antara lain, Hj Abdul Hamid merakamkan ucapan terima kasih kepada PKPMI-CA yang menjayakan program ini dengan baik dan ucapan terima kasih juga ditujukan kepada masyarakat setempat yang turut membantu program ibadah qurban ini. Menurut beliau, PERKIM akan berusaha menjadikan program ibadah qurban di Aceh ini sebagai program tahunan untuk masa akan datang dengan bekerjasama sepenuhnya dengan PKMPI-CA.

Tetamu yang tiba menjamu selera selesai majlis pembukaan tersebut sambil menikmati persembahan nasyid mahasiswa Malaysia dari kumpulan In-Shoff dan Dikir Barat dari anak-anak Malaysia yang sebahagian besarnya berasal dari Kelantan Darul Naim. Tetamu beransur surut menjelang waktu Asar. Sebelum pulang ke Banda Aceh, rombongan PERKIM Kuala Muda turut menyampaikan sumbangan wang raya dan makanan kepada anak-anak yatim ACR.

Pengarah program, Al-Akh Ikram Ramli ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai program dibawahnya ini kerana agak terharu dengan keberhasilan yang dilakukan bersama ini. Beliau mengucapkan rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada yang merealisasikan sikap ‘amal jama’ie’ dalam bekerja.

Dalam taklimat akhir dari YDP PKPMI-CA, Al-Akh Mohammad Azzar Ismail pada sebelah petangnya kepada panitia pelaksana dan ahli, beliau merakamkan ucapan terima kasih diatas pengorbanan dan kerjasama yang baik dari semua. Harapan beliau agar acara sebegini diteruskan lagi pada tahun akan datang dan pengalaman kali pertama ini dapat dijadikan sebagai ilmu untuk mempertingkatkan lagi kelancaran program sebegini buat kali yang seterusnya.

Minggu, 22 November 2009

Kuliah Maghrib Mingguan Mahasiswa Malaysia

PKPMI-CA 09/10 melalui Biro Dakwah & Pembangunan Insan merasakan kepentingan dan keperluan kepada mahasiswa Malaysia untuk sentiasa berada dalam suasana keilmuan, budaya nasihat menasihati, berkongsi maklumat dan memupuk semangat ukhwah Islamiyyah dikalangan mahasiswa Malaysia. Atas hal tersebut, maka program-program pengajian sentiasa disusun dan diseliakan oleh Biro ini.

Bagi rumah sewa pelajar Muslimin, rumah sewa Baitul Hikmah ( Malim Nawar & Uniti ) dijadikan sebagai pusat tetap kuliah Maghrib mingguan buat masa ini sejak 2 bulan yang lalu. Ianya dijalankan setiap minggu pada Hari Khamis malam Jumaat selepas Solat Maghrib dan disusuli dengan solat Isya’ secara berjama’ah. Pengisian akan disampaikan oleh pimpinan PKPMI-CA. Dalam masa yang sama, pimpinan mahasiswa IAIN seperti dari Lembaga Dakwah Kampus ( LDK ) dan Musholla Az-Zilal, Fak.Ushuluddin turut diundang untuk menyampaikan pengisian.

Bagi rumah sewa pelajar Muslimat pula, pengajian antara waktu Maghrib dan Isya turut diadakan. Untuk rumah sewa Muslimat 50 ( KIAS ) diadakan setiap hari Sabtu malam Ahad dan pimpinan PKPMI-CA Muslimin turut dijadualkan menyampaikan kuliah di situ sebanyak 2 kali sebulan pada malam yang sama.

Untuk rumah sewa pelajar Muslimat ( baru : tiba 2009 ) jadual kuliah Maghrib juga pada hari Sabtu malam Ahad di Musholla Baitul Mawaddah. Pimpinan PKPMI-CA muslimat akan menyampaikan kuliah 2 kali sebulan dan pimpinan Muslimin juga 2 kali sebulan secara berselang. Kadangkala pimpinan mahasiswa IAIN dari LDK dan sebagainya turut diundang.

Tanggal 19 Nov, Khamis kelmarin, Al-Akh Taufiq yang merupakan pimpinan Musholla Az-Zilal, Fak.Ushuluddin diundang menyampaikan pengisian di rumah sewa Baitul Hikmah. Beliau menyampaikan pengisian mengenai tanggungjawab pemuda Islam khasnya mahasiswa dalam lingkungan kampus dan luar. Pada 21 Nov pula, Al-Ukht Ariani yang merupakan mantan timbalan Ketua LDK sesi 2008/2009 diundang menyampaikan pengisian di rumah sewa Muslimat baru. Dalam ucapannya, antara lain beliau menjelaskan sedikit mengenai sejarah LDK dan Keputrian yang juga pertubuhan di kampus yang bersama LDK. Ujian-ujian dalam menggerakkan dakwah di lingkungan kampus turut dikongsi bersama mahasiswa Malaysia.

Biro Dakwah & Pembangunan Insan memohon dan mengharapkan agar seluruh mahasiswa dapat memberikan komitmen yang baik bagi menjayakan aktiviti pengajian sebegini yang tentunya bermanfaat bagi kita semua.

Kamis, 19 November 2009

Mahasiswa Malaysia Bersama Tarbiyyah Fair 2009

Mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry bukan sahaja menjadikan kampus ini sebagai tempat menadah ilmu pengetahuan di bilik kuliah semata-mata. Penglibatan mereka dan kebersamaan mereka dalam pelbagai lapangan kegiatan di IAIN Ar-Raniry samada kurikulum dan ko-kurikulum kini menjadi perhatian pelbagai pihak.

Pagi tadi PKPMI-CA menghantar wakil mereka untuk menyertai Festival Nasyid Se-Banda Aceh & Aceh Besar yang diadakan di Auditorium Ali Hasyimi, IAIN Ar-Raniry. Festival ini merupakan sebahagian dari acara yang disusun di dalam program Tarbiyyah Fair yang sudah berjalan sekitar satu minggu dan akan berakhir pada 12 Dis 2009 nanti.Tarbiyyah Fair 2009 digerakkan oleh Badan Eksekutif Mahasiswa ( Bemaf ) Fakultas Tarbiyyah IAIN Ar-Raniry yang merupakan program tahunan mereka.

Dalam festival nasyid yang disertai oleh 6 buah kumpulan nasyid dari beberapa IPT tempatan dan beberapa buah sekolah menengah sekitar Banda Acehpagi tadi, kumpulan nasyid dari mahasiswa Malaysia yang dikenal dengan nama In-Shoff melakukan persembahan pada giliran yang keempat dengan disusuli kritikan dari beberapa juri hakim sebagai penambahbaikan kepada setiap kumpulan. Nasyid mereka berjudul ‘Tuntutlah Ilmu diawali dengan sebuah nasyid yang wajib dipersembahkan oleh setiap kumpulan sebagai syarat pertandingan iaitu ‘Skala Mentari’.

Dalam waktu yang sama, diluar auditorium diadakan pertandingan memasak yang juga disertai oleh kumpulan mahasiswi dari Malaysia. Pelbagai jenis makanan disediakan oleh setiap kumpulan yang melambangkan pelbagai daerah di Aceh Darussalam.

Kumpulan mahasiswi Malaysia yang menamakan diri mereka BAKRIS berhadapan dengan 10 kumpulan mahasiswa asal Aceh yang terdiri dari 7 kumpulan perempuan dan 3 kumpulan lelaki dengan mempersembahkan masakan mereka dari Malaysia iaitu Sup Cendawan Ala Malaysia.

Antara program yang telah dijalankan selama program Tarbiyyah Fair 2009 ini adalah Seminar Pendidikan Internasional, Seminar Perempuan Aceh, Education Expo, Kompetisi Fotografer, Pelatihan Event Organizer dan sebagainya. Pemenang-pemenang bagi setiap pertandingan selama Tarbiyyah Fair 2009 berjalan dijangka akan diumumkan pada Majlis Penutupannya nanti tanggal 12 Dis 2009.

Minggu, 15 November 2009

3 Pusat Pengajian Malaysia Bertemu PKPMI-CA

Pihak PKPMI-CA melalui YDPnya, Al-Akh Mohammad Azzar bin Ismail mengucapkan sekalung penghargaan serta mengalu-alukan kehadiran wakil dari 3 buah pusat pengajian Islam di Malaysia yang sudi meluangkan masa bertemu mahasiswa Malaysia di Aceh dalam kunjungan mereka ke sini.

Rombongan sekitar 10 orang ini adalah dari Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman, Terengganu yang diwakili oleh Tim.Mudirnya iaitu Al-Fadhil Ust Abdul Wahab, Ma’ahad Darul Anuar, Pulau Melaka, Kelantan diwakili oleh Mudirnya sendiri, Al-Fadhil Ust Nik Omar bin Nik Abdul Aziz dan Al-Fadhil Ust Sabri dari UNITI, Negeri Sembilan.

Menurut Ust Nik Omar, kehadiran mereka ke bumi Aceh Darussalam pada Jumaat kelmarin dan akan pulang pada Hari Isnin, esok antara lain adalah dalam rangka untuk menjalinkan kerjasama ( MoU )antara pusat pengajian yang mereka gerakkan di Malaysia dengan IAIN Ar-Raniry, Darussalam, Banda Aceh.

Peluang mengunjungi bumi Aceh dijadikan kesempatan untuk mereka bertemu mata dan beramah mesra dengan mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry yang berada di 3 Fakultas iaitu Ushuluddin, Syariah dan Dakwah. Majlis pertemuan ini dilakukan pada malam tadi sekitar jam 9.00 malam ( 10.00 Malaysia ) dan berakhir jam 10.30 malam dengan diisi tazkirah oleh Al-Fadhil Ust Abdul Wahab serta Ust Nik Omar. Mereka menceritakan pengalaman dalam menggerakkan pusat pengajian masing-masing serta pengalaman masa lalu dalam tempoh menuntut ilmu. Kata Ust Nik Omar, “jika dalam politik, ia tidak boleh terpisah dari kekuasaan..dan dalam pendidikan, ia tidak boleh terpisah dari proses pembentukan manusia..kedua-duanya penting (untuk Islam)”. Sesi dialog turut diadakan antara mahasiswa Malaysia dan anggota rombongan.

Dalam ucapan penutupnya, pengacara majlis yang merupakan pimpinan PKPMI-CA turut menyatakan sikap persatuan yang terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin bertemu dengan mahasiswa Malaysia di sini baik pimpinan dari mana-mana NGO, parti politik dan sebagainya. Katanya, mahasiswa berhak mendengar sesiapa sahaja, kemudian mereka boleh menilai.

Minggu, 08 November 2009

PKPMI-CA Anjur Bedah Buku ‘Refleksi Implementasi Syariat Islam di Aceh’

PKPMI-CA melalui Biro Akademik & Penerbitan berjaya melaksanakan program Bedah Buku : Refleksi Implementasi Syariat Islam di Aceh’. Panel jemputan adalah Teungku Hasanuddin Yusuf Adan, Ketua Umum Dewan Dakwah Islam Indonesia ( DDI ) Aceh yang juga merupakan Pembantu Dekan 3 Fakultas Syariah IAIN Ar-Raniry, Aceh Darussalam.

Kehadiran para peserta dikalangan mahasiswa Malaysia diperkirakan menghampiri 70 orang, kata Pengarah Program, Al-Akh Danial bin Kamal. Program dimulai jam 10.00 pagi tadi dan berakhir sekitar jam 12.30 t.hari dengan diselangi sesi soal jawab dari para peserta mahasiswa Malaysia dan juga tayangan klip video pelaksanaan hukum ta’zir kepada pesalah khalwat dan sebatan kepada pesalah minum arak. Turut ditayang, pembenterasan kegiatan pelacuran di Banda Aceh Darussalam.

Dalam pembentangan buku hasil karya beliau tersebut, Teungku Hasanudin antara lain menceritakan sejarah ringkas perjuangan menegakkan Syariat Islam di bumi Aceh sejak sekian lama sehinggalah saat ini yang mengundang polemic yang hangat berikutan tindakan Gubernor Aceh, Irwandi Yusuf baru-baru ini yang tidak mahu menandatangani Qanun Jinayat yang telah disahkan oleh anggota Dewan Perwakilan Rakyat Aceh ( DPRA ). Menurut beliau, dalam peraturan Aceh, jika selepas 30 hari undang-undang yang disahkan tidak ditandatangani, maka ia tetap menjadi sah dan boleh dilaksanakan.

Katanya, perjuangan menenaggakkan Syariat Islam bermula sejak zaman penjajahan Belanda ke atas Indonesia lagi. Perjuangan ini dipelopori oleh seorang ulama karismatik Aceh iaitu Teungku Dawud Beureuh. Belanda gagal menakluk Aceh. Kemudian tiba pula pihak Jepun. Namun, tidak sempat juga menakluk Aceh. Presiden Sukarno dan wakilnya, Hatta saat itu ditawan Belanda dan akhirnya melarikan diri ke Aceh. Berlakukan perjanjian agar rakyat Aceh bekerjasama membantu Indonesia melawan Belanda. Jutaan wang, bahkan emas dikeluarkan oleh rakyat Aceh membantu para pejuang Indonesia menghadapi Belanda termasuklah membeli 2 buah pesawat Garuda Indonesia. Namun, Sukarno mengkhianati perjanjian dan sumpahnya kepada Teungku Dawud Beureuh bahawa Aceh akan diberi hak melaksanakan Syariat Islam jika Indonesia merdeka nanti.

Maka bermulalah peperangan antara pejuang Islam Aceh dengan Tentera Nasional Indonesia ( TNI ) sekitar tahun 1953 – 1962. Perjuangan ini digerakkan atas nama Darul Islam atau Tentera Islam Indonesia ( TII ) pimpinan Teungku Dawud. Para mujahidin dibantai oleh TNI begitu dahsyat. Kemerdekaan Indonesia diproklamasikan pada 17 Ogos 1945.

Perjuangan diteruskan oleh ‘orang-orang lama’ dalam DI/TII. Akhirnya terbentuklah pula Gerakan Aceh Merdeka ( GAM ) yang diketuai oleh Hasan Tiro. Namun, akhirnya perjuangan GAM menjadi semakin tidak jelas. Syariat Islam bukan matlamat lagi, tetapi hanya menuntut kemerdekaan Aceh. Ini berlaku pada tahun 1997 – 2005.

Secara ringkasnya, Syariat Islam diisytiharkan di Aceh pada 1 Muharram 1423 / 15 Mac 2002. Masyarakat bergembira dan maksiat berjaya dikurangkan. Pesalah dihukum dikhalayak ramai. Kajian menadapati 65-70 % rakyat Aceh mendokong pelaksanaannya. Hanya, beberapa kerat pegawai pemerintah yang sudah senang dengan jabatannya, orang-orang Aceh yang tinggal diluar Aceh dan mereka yang kurang pendedahan agama yang masih menolaknya.

Dalam ucapannya, Teungku Hasanuddin menegaskan kekecewaannya terhadap Gubernor Aceh, Irwandi dan juga sikap segelintir ulama’ Aceh yang berdiam diri dalam menghadapi situasi sekarang serta memberi pelbagai alasan dan hujjan yang tidak relevan. Bahkan beliau sendiri dalam kenyataannya mengarahkan Irwandi agar turun sahaja dari jawatan. Segala ranjau dan duri dalam perjuangan menegakkan Syariat Islam di Aceh diluahkan oleh beliau dek kerana terdapatnya campurtangan pelbagai pihak khasnya Jakarta ( Pemerintah Pusat ) dan pihak asing ( Barat ) yang memang tidak mahu melihat Syariat Islam tertegak di Aceh.

Setakat ini, hukuman yang sedang berjalan di Aceh hanyalah ta’zir ( kesalahan selain dari hukum hudud ) dan hukum hudud yang berkaitan dengan arak dan judi sahaja. Hukuman potong tangan belum ada. Hukuman rejam kepada penzina juga belum ada. Jika mereka yang ditangkap kes zina, mereka hanya dihukum atas kesalahan khalwat iaitu dengan hukuman ta’zir seperti disebat dengan beberapa jumlah yang ditentukan oleh pihak berwajib.