Senin, 28 Desember 2009

Rehlah Mahabbah ke Pantai Neuhen

Bagi merapatkan dan mengukuhkan ukhwah antara mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry, Aceh yang berlatarbelakangkan dari pelbagai pusat pengajian di Malaysia, sebuah program rehlah telah diadakan semalam bertempat di

Pantai Neuhen, Kabupaten Aceh Besar, Nanggroe Aceh Darussalam. Program Rehlah Mahabbah bertemakan ‘Ukhwah Islamiyyah’ ini adalah dibawah anjuran Biro Rehlah & Sambutan PKPMI-CA 09/10.

Walaupun perjalanan program ini dalam suasana yang agak santai tanpa sebarang pengisian formal dari mana-mana pengkuliah, namun peserta yang jumlahnya mencecah angka 70 orang tersebut tetap diberi pengisian melalui pelbagai modul-modul bertemakan ukhwah dan kebersamaan di dalam berorganisasi.Rehlah singkat yang bermula dari jam 9.00 pagi dan berakhir jam 3.00 petang tanggal 27 Dis 2009 bersamaan 10 Muharram 1431 H ini dimulai dengan bacaan ayat suci Al-Qur’an, ucapan Pengarah Program (Peng.Biro Rehlah & Sambutan) dan YDP PKPMI-CA.

Dalam ucapannya pada program yang dilaksanakan sehari selepas genapnya 5 tahun musibah Tsunami di Aceh tersebut, YDP mengucapkan tahniah atas kebersamaan dan komitmen yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PKMPI-CA yang hadir dan mengharapkan ada sesuatu yang boleh dibawa pulang oleh mereka seusai program khasnya soal ukhwah dan kebersamaan dalam menggerakkan organisasi mahasiswa Islam Malaysia di Aceh iaitu PKPMI-CA. Seterusnya peserta dipisahkan antara Muslimin dan Muslimat ditempat yang berasingan untuk mengikuti aktiviti bermodul tersebut di bawah bimbingan beberapa panitia.

Solat Zohor dilakukan secara berjamaah dibawah teduhan pohon-pohon kelapa di pesisiran Pantai Neuhen yang berhadapan dengan Pulau Sabang, sebuah pulau indah dan cantik di bumi Aceh. Selesai solat dan makan tengah hari, para peserta melakukan aktiviti bebas masing-masing. Majlis diakhiri dengan bacaan doa, salawat dan bersalaman antara para peserta dan pihak panitia yang merupakan pimpinan PKPMI-CA.

Kamis, 24 Desember 2009

REHLAH MAHABBAH MAHASISWA

REHLAH MAHABBAH MAHASISWA


HARI/TARIKH : AHAD- 27 -12-2009 (10 Muharam 1431)

MASA : 7.30 PAGI - s/d

YURAN : Rp 10000

TEMPAT : PANTAI UJUNG KAREUNG



p/s : sila berkumpul di Biro IAIN Ar-raniry jam 7.30.
sila bawa pakaian riyadah dan kelengkapan solat.
Diwajibkan kepada mahasiswa baru dan terbuka kepada mahasiswa lama.
pengangkutan dan makanan disediakan.



Selasa, 22 Desember 2009

MERAJUT UKHUWWAH MEMPERTEGUH WAHDAH


Bila bicara tentang bagaimanakah pemuda itu membawa idealisme perjuangannya adalah berpijak kepada dua perkara iaitu nilai dan wadah dia berpijak. Menyangkut tentang nilai adalah bertitik tolak daripada landasan atau fondasi kita bergerak. Jika asas kita adalah bercirikan kezaliman atau mempunyai unsure opportunity maka akan terjelmalah nilai dan bawakan yang kita tampilkan. Maka ini sangat penting jika pemuda yang dimaksudkan utnuk menggerakkan massa dengan mempunyai jiwa dan ruh Islam, visinya adalah visi Islam. Begitu juga untuk implementasikan maksud nilai semestinya kita mempunyai wadah atau jamaah untuk melahirkan cita-cita dan gagasan yang kita mahukan. Tidak akan berjaya jika kita membawanya secara personel. Tiada Negarawan jika tiada dukungan secara kolektiviti dan sarana untuk dia berpijak.


Sangat membimbang jika gambaran kepimpinan yang cantik dan mulus ini dirosakkan dengan sikap mengambil kesempatan, kejahatan, penyelewengan, ketidak adilan,kezaliman dan berbagai lagi kejahatan. Sebagaimana sejarah yang telah kita fahami sebelum ini iatu bagaimana saat-saat kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah yang bermula daripada perselisihan politik, fanatisme terhadap mazhab, te nggelam dalam beragam kemewahan, memberi amanah kepada orang yang tidak layak, mengabaikan ilmu-ilmu terapan sains dan teknologi, bangga dan tertipu dengan kekuatan sendiri serta yang paling penting ialah lemahnya terhadap sentiment agama dan aqidah sehingga menyebabkan ambruknya moral mereka dan tenggelam kepada kancah hedonisme. Akhirnya empayar Uthmaniyah ini mengalami kejatuhan akibat daripada sikap kaum muslimin ketika itu yang tidak berpegang kepada hukum Allah. Inilah pelajaran sejarah yang harus kita ambil iktibar. Agar kejadian yang lama tidak berulang lagi.


Ikhwah dan Akhawat FilLah,


Demikian juga dalam upaya mewujudkan ‘merajut ukhwah dan memperteguh wahdah’. Sejarah seperti di atas haruslah difahami sebaiknya. Sejarah yang telah menghancurkan peradaban Islam, penghancuran yang bersistematik bermula dengan dihilangkan rasa saling kasihan sesame muslim. Sehinggalah kepada penghancuran sebuah kesatuan, solidarity dan negara sekaligus dimusnahkan peradaban yang gilang gemilang.


Dengan pengiktibaran ini, walaupun PKPMI-CA baru berumur setahun jagung. Namun berbagai persiapan dan kerja keras yang harus digalas. Disamping kendala masalah akademik yang melibatkan antara kita dan Kampus. Namun perlulah diingat. Dalam ruang lingkup kita sebagai mahasiswa, tidak hanya kampus semata-mata kehidupan kita dan kampus lah semata-mata yang kita mesti fikirkan. Kita juga perlu bertindak dan beraksi lebih dari lingkungan itu. Lebih luas dari kotak dan kerangka yang diciptakan. Bagaimana kita mengelola pengorganisasian, bagaimana kita bertindak menyelesaikan masalah, bagaimana kita berurusan dengan kebajikan pelajar-pelajar dan sahabat-sahabat, bagaimana kita beraksi dengan permainan birokrasi dan lebih penting dari tu bagaimana kita cuba menciptakan mahasiswa yang punya karakter, kredibel dan potensi yang mampu membangun bangsa dan sekaligus boleh berinteraksi dengan pelbagai masalah dan memberikan solusi dalam memecahkan persoalan tersebut. Inilah hasil yang kita mahukan dan inilah generasi yang diharap-harapkan. Generasi yang beridealisme mengakar dan mempunyai komitmen yang mapan. Generasi serikandi bersemangat waja seperti Asma bin Abu Bakar. Asma yang berkomitmen tinggi sanggup memanjat gunung ganang dan mengharungi tanah yang berbatu debu semata-mata untuk menjayakan misi hijrah nabi.


Ikhwah dan Akhawat FilLah,


Momentum maal hijrah adalah momentum yang terbaik untuk kita ambil iktibar. Kita mobilasi seluruh kinerja dan keintelektualan di pertingkatkan.. Yang terpenting, pereratkanlah ukhuwwah sesama kita. Jangan diperbesarkan hal yang kecil dan berlapang dadalah ketika berhadapan dengan persepsi. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang sedikit. Dipilih oleh Allah untuk mereformasi bangsa dan umat yang akhirnya mengantar kepada tertegaknya daulah Islamiyyah yang kita idam-idamkan. Wallahualam…


Dari Kampus ke Lapangan Ummah


“Kesatuan Memartabatkan Intelektual Ummah”



Nurul Najwa Binti Muhammad,

Pengerusi Helwani PKPMI-CA

Kulliyyah Usuluddin Jurusan Tafsir Hadis,

Jami’ah Ar-Raniry, Banda Aceh, NAD.


Minggu, 20 Desember 2009

Daurah Mingguan 2 : Mahasiswa Islam Duta Penyelamat Ummah

Masjid Baitul Muttaqin, Darussalam, Banda Aceh sekali lagi dpenuhi oleh sekitar 50 mahasiswa Malaysia yang menuntut di IAIN Ar-Raniry. Daurah Mingguan kali ke-2 di bawah Biro Dakwah & Pembangunan Insan PKPMI-CA 09/10 mengundang mereka untuk duduk serta mengambil bahagian menjadi pendengar sekaligus peserta daurah.

Program yang bermula jam 09.45 pagi tadi diisi oleh Al-Fadhil Ust Fathurrahmi yang merupakan salah seorang dosen (pensyarah) Jurusan Kimia di Universitas Syiah Kuala (Unsyiah), Banda Aceh. Beliau yang juga mantan anggota Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia (HMI), Lembaga Dakwah Kampus (LDK), Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta satu masa lalu diberi tema “Mahasiswa Islam Duta Penyelamat Ummah: Sebuah Penghayatan Kepada Peristiwa Hijrah untuk dibahaskan di daurah ini pagi tadi.

Dalam ucapannya, Magister (Master) Kimia dari Uni.Gadjah Mada ini mengembalikan ingatan para peserta kepada peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dan membuka minda para pendengar agar memahami peranan yang perlu mereka lakukan sebagai mahasiswa Muslim pada hari ini. Pada sesi menjawab persoalan dari peserta, Ust Fathurrahmi turut menyentuh mengenai ancaman pemikiran (Ghuzwatul Fikriyyah) yang menyerang umat Islam dewasa ini khasnya fahaman sesat Islam Liberal yang terlihat secara jelas melingkari IAIN dan UIN diseluruh Indonesia.

Jam 11.30 pagi, selepas istirehat beberapa minit, para peserta dibentuk kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk acara Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Kali ini, mereka diberi tugasan agar berdiskusi bersama sebuah tema iaitu ‘Apa Sumbangan Kami Untuk Islam?’ berdasarkan kelebihan dan criteria yang dimiliki oleh setiap ahli kumpulan. 6 daripada 7 kumpulan sempat membuat pembentangan diselangi pertanyaan-pertanyaan dan kritikan-kritikan membina dari para peserta lain.

Kesimpulan yang berjaya dibawa pulang dari daurah ke-2 ini kepada para peserta adalah setiap kita wajib berperanan dan memainkan peranan dalam membantu Islam sesuai dengan kemahiran dan bidang masing-masing hasil dari anugerah Allah s.w.t. Daurah berakhir dengan solat Zohor secara berjamaah.

Senin, 14 Desember 2009

Sekitar Daurah Mingguan : Saya Muslim 24 Jam

Dalam rangka menjadikan PKPMI-CA sebagai sebuah organisasi mahasiswa Malaysia di Aceh yang bukan sahaja menguruskan masalah kebajikan ahli, namun melaksanakan agenda dakwah dan pembinaan mahasiswa yang berilmu, beramal, berakhlak dan mempunyai fikrah Islam yang baik, Biro Dakwah & Pembangunan Insan PKPMI-CA 09/10 semalam telah mengadakan sebuah Daurah Mingguan Kali-1.

Program Daurah ini diisi oleh Al-Fadhil Ust Roly Triwahyudi, S.TP yang merupakan anggota Ikatan Dai Indonesia Cabang Aceh dan Direktor kepada Lembaga Cinta AL-Qur’an (LCA). Acara daurah kali ini menaikkan perbahasan mengenai ‘Saya Muslim 24 Jam’ yang berpedomankan karya Al-Marhum Dr.Fathi Yakan, Maza Ya’ni Intima’ Lil Islami ? ( Apa Ertinya Saya Menganut Islam ).

Program bertambah menarik dengan tentatif yang memuatkan sebuah modul yang dilakukan oleh semua peserta daurah yang berjumlah lebih 50 orang secara berkumpulan. Ianya dilakukan seusai tamatnya perbahasan ‘Saya Muslim 24 Jam’ oleh Ust Roly. Para peserta diarahkan membentuk sebuah persatuan mahasiswa di Aceh dengan misi, visi, organisasi dan sekitarnya mengikut kreativiti masing-masing berpedomankan tajuk Saya Muslim 24 Jam. Kemudian beberapa kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka disertai pertanyaan dan kritikan membina dari para peserta lain.

YDP PKPMI-CA, Al-Akh Mohammad Azzar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para mahasiswa yang meluangkan waktu menjadi peserta daurah dan mengharapkan komitmen mereka untuk acara-acara selanjutnya. Program berjalan dengan lancer bermula jam 09.45 pagi dan berakhir dengan solat fardhu Zohor secara berjama’ah ditempat acara diadakan iaitu di Masjid Baitul Muttaqin, Darussalam, Banda Aceh yang terletak berhampiran kampus.