Jumat, 05 Maret 2010

Kalam YDP PKPMI-CA...........

“Melahirkan Ulama’ Muda Yang Faqih”

Amma Ba’du : Sesungguhnya sebenar-benar suatu perkataan adalah perkataan Allah (Kitabullah) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Sedangkan seburuk-buruk suatu perkara adalah perkara yang diada-adakan, dan setiap perkara yang diada-adakan adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah sesat dan setiap kesesatan tempatnya di neraka.

Firman Allah:- “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata sesungguhnya aku adalah dari orang Islam (yang berserah bulat pada Allah)”… surah Fusilat : 33.

Ulama’ Muda Sekalian,

Pertama ana ucapkan tahniah & takziah pada sahabat-sahabat yang akan menerima ijazah pada Majlis Wisuda IAIN Ar-Raniry pada 06-03-2010. Tahniah kerana sahabat-sahabat sekalian telah melepasi ujian dalam menempuh zaman mahasiswa dan dengan kesungguhan kalian telah berjaya digelar sebagai seorang Sarjana dan takziah kerana selepas ini kalian semua akan memikul tanggungjawab serta amanah yang besar sebagai seorang Dai’e dalam mengembangkan Dakwah dan ISLAM.

Sahabat-sahabat,

Ucapan pertama yang akan keluar dari mulut ibu bapa adalah anak ku sudah berjaya seorang Ustaz @ Ustazah, anak ku sudah menamatkan zaman mahasiswanya. Ucapan ini barangkali akan menakutkan kita semua karena mungkin pada asas nya kita masih lagi belum siap untuk digelar seumpama ini.

Ikhwah dan akhawat yang dibanggakan,

Untuk apa tujuan kita belajar @ menuntut ilmu?... untuk apa kita belajar sampai ke luar negeri?.. untuk apa keluarga kita menghabiskan wang semata-mata untuk menampung pengajian kita?... jawapan nya hanya ada pada sahabat-sahabat. Paling tidak kita kena semat dan azzam dalam diri kita bahwa kita adalah harapan keluarga, masyarakat dan Negara.

Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan mengurniakan iman kepada kamu serta mendidik kamu atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan kamu di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada kamu kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada guru di hadapan muridnya.

Allah berfirman (Al-Imran : 110): “Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah……….”.

Allah berfirman (Al-Baqarah : 143): “Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia……..”..

Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru kamu ialah hendaklah kamu mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah kamu menyedari martabat kamu dan yakinlah bahawa kamulah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi kamu dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa.

Ulama’ Muda Sekalian,

Peranan kita semua selepas ini adalah untuk memikirkan bagaimana kita membangunkan semula peradaban atau masa depan ISLAM. Bagaimana kita mengislahkan masyarakat agar mereka menjadi ISLAM sebagai anutan dalam kehidupan. Barangkali dengan kemuliaan yang telah dikurniakan Allah kepada kita tersebut merupakan sebagai satu ujian awal untuk kita berperanan dalam menjayakan ”konsep amar makruf nahi mungkar”.

Slogan ulama’ muda yang dicanangkan sekurangnya berperanan menaikkan semangat (hamasah) sahabat-sahabat untuk terus istiqomah dan thabat di atas jalan Dakwah yang penuh dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, yang penuh dengan ranjau dan duri, dan yang penuh dengan cacian dan makian. Jalan dakwah yang kita tempuhi nanti bukanlah dihiasi dengan permaidani merah atau kesenangan tetapi sebaliknya malah disinilah kita akan benar-benar memahami erti kesabaran dan kekuatan, disinilah baru kita tercari-cari mana sahabat-sahabat sejati, dan disinilah baru kita sedari bahwa selama ini kita lupa dalam memohon atau meminta bantuan dan nusrah minALLAH.

Sahabat-sahabat,

Zaman kemahasiswaan akan berlalu meninggalkan kalian dengan pelbagai kenangan manis dan pahit, yang pasti zaman ini tidak akan berulang kembali. Kita semua akan menempuh zaman yang penuh dengan cabaran, kita akan bergelumang dengan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pengalaman dari kita.

Zaman ini tidak lagi kita sibuk dengan teori-teori semasa kuliah tetapi lebih kepada aplikasi ilmu atau penghayatan amalan. Masyarakat di saat ini akan mula menilai kemampuan dan kehebatan ilmu kita. Masyarakat mula akan menguji daya intelektualan dan kebijaksanaan kita. Kesemua ini merupakan satu proses pentarbiyahan dari Allah.

Kalian akan dihujani dengan pelbagai persoalan dunia yang rumit dan memeningkan kalian. Sebab itu, kalian kena bersedia sebagai Ulama’ Muda yang Amilin, Ulama’ Muda yang Faqih, Ulama’ Muda yang mampu mendepani cabaran, Ulama’ Muda yang bersedia dan siap dalam memikul risalah ISLAM.

Ulama’ Muda yang kita banggakan,

Kalian semua perlu mempersiapkan diri sepenuhnya dengan ilmu dan kefaqihan. Kita mendidik diri kita sendiri supaya terbentuklah dari kalangan kita ini apa yang dinamakan Individu Muslim. Kita juga akan mengasuh rumahtangga kita supaya lahirlah daripadanya nanti apa yang kita sebutkan sebagai Rumahtangga Muslim. Kita juga akan membentuk umat kita supaya terbentuklah apa yang dinamakan Umat Islam.

Bagi menghadapi persoalan ini kita telah pun menyediakan iman yang sekali-kali tidak akan bergoyang, kerja-kerja yang tidak tersekat-sekat, kepercayaan yang tidak luntur kepada Allah, bahkan kita juga telah menyediakan jiwa raga yang merasai sebahagia-bahagia hari baginya ialah hari yang mereka gugur sebagai para syuhada' di jalan Allah.

Di atas dasar-dasar ini dan berdasarkan ajaran-ajaran yang mulia inilah kita menyeru anda sekalian. Jika anda percaya kepada fikrah perjuangan ISLAM ini dan anda menurut jejak langkahnya, memasuki bersama kita jalan Islam ini, melepaskan diri dari sebarang fikrah yang lain, menguntukkan segala tenaga untuk aqidah anda, maka itu adalah sebaik-baik pendirian untuk anda di dunia dan juga di akhirat. Insyaallah, Tuhan akan menjayakan melalui anda seperti mana yang dijayakannya melalui angkatan salaf yang terdahulu dari anda ketika zaman permulaan dulu.

Dengan itu, setiap Ulama’ Muda yang ikhlas bekerja dalam memikul risalah di jalan Islam akan mendapati balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal dengan masanya, jika ia benar-benar termasuk ke dalam golongan pejuang-pejuang agama (Ansarullah).

Akhirnya, asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Kita memohon kepada Allah supaya ia memperbetulkan kesalahan kita, mengilhamkan hidayah, taufik dan menolong kita dalam usaha meninggikan kalimahnya pada jalan yang Ia redai. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik penolong.

“Kemenangan itu hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana”. Surah Al-Imran:126.

Al-Faqir Ila Rabbi........

Mohamad Azzar Bin Ismail,
YDP PKPMI-CA,
Kuliah Ushuluddin,
Jami’ah Ar-Raniry...

Tidak ada komentar: