Kamis, 25 Oktober 2012

Perutusan YDP PKPMI-CA Sempena Idul Adha 1433 H

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh 

Allahu Akbar 
Allahu Akbar 
Allahu Akbar 
Allahu Akbar 
Allahu Akbar 
Allahu Akbar 
Allahu Akbar 

Walillahil hamd… 

Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain. 

Kita membaca bagaimana umat Islam di zaman dahulu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi saw, termasuklah dalam perkara hubung-kait antara satu sama lain walaupun mereka berselisih pendapat dan berbeza pemimpin, mazhab dan guru tetapi mereka berkasih sayang dan bermaafan. Kalau mereka berselisih pendapat atau berkelahi dengan mudah sahaja mereka berdamai kerana mereka menyelesaikan masalah dengan kembali kepada kepada Al-Quran dan Hadith Nabi saw. 

Sebahagian daripada kita ketika ini, sedang berhimpun di Padang Arafah daripada ratusan bangsa dan negara seluruh dunia, semuanya sujud kepada Allah SWT. Memberi makna yang jelas ketundukan kita kepada Pencipta iaitu Allah SWT dan melambangkan kesatuan Islam yang mampu menyatupadukan ratusan bangsa yang sangat majmuk di seluruh dunia. 

Begitu juga dengan ibadah korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS yang patuh dan tunduk kepada perintah Allah, telah menatijahkan kemenangan besar yang Allah berikan dalam berhadapan dengan pemerintah zalim Namrud pada ketika itu. 

Kepatuhan dan pengorbanan dalam perjuangan, akan membuahkan pertolongan Allah yang tidak disangka- sangka dalam memberi kemenangan kepada Islam. Sekali gus memberi hasil yang baik kepada dunia yang sejahtera dan adil untuk semua termasuklah kepada masyarakat bukan Islam. 

Kita berharap, sambutan hari raya ini akan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah, dengan mematuhi perintah yang diwajibkan-Nya dalam seluruh aspek kehidupan sebagai individu dan masyarakat, juga negara bagi memastikan dunia ini selamat dan diri kita juga selamat di akhirat apabila bertemu Allah SWT. 

Kepada seluruh ahli Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia-Cawangan Aceh, marilah kita terus menerus memperkukuhkan persatuan kita dengan sama-sama kita mengikhlaskan niat perjuangan kita kerana Allah, dan seterusnya kita beramal dengan kaedah perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. 

Marilah kita berpegang teguh kepada firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59. 
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” 
Juga sabda nabi s.a.w yang diucapkan ketika menunaikan haji selamat tinggal : 
“Janganlah kamu menyeleweng, menjadi kafir selepas aku wafat sehingga ada di kalangan kamu memancung leher dengan pedang-pedang di antara satu sama lain (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari & Muslim) 
Justeru itu, saya YDP PKPMI CA mewakili saff kepimpinan PKPMI CA sesi 2012-2013 mengucapkan selamat hari Raya Idul Adha, maaf zahir dan batin. Semoga kita berjaya bersatu dengan memperbaharui azam dan mengubah diri kearah yang lebih baik. Dan dengan sedaya upaya, kita cuba merealisasikan apa yang di bawa oleh Persatuan pada sesi kali ini dengan tema ‘Intelektualisme Menjana Kesatuan Mahasiswa.’ Semoga amalan kita pada hari raya ini diterima oleh Allah SWT. Insha Allah. 


Seeru ‘Ala Barakatillah 

Dari:
YDP PKPMI CA sesi 2012/13
HELWANI PKPMI CA
Seluruh Ahli Majlis Tertinggi PKPMI CA 
Biro Dakwah dan Pembangunan Insan 
Biro Akademik, Informasi dan Penerbitan 
Biro Imigrasi dan kepolisian 
Biro Rehlah, Sukan dan Kesenian 
Biro Kebajikan, Kediaman dan Keselamatan
Unit Mini Pavilion 
Unit Ekonomi 

Intelektualisme Menjana Kesatuan Mahasiswa