PENGENALAN

Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia Di Indonesia dengan singkatan PKPMI, merupakan satu pertubuhan atau persatuan untuk anak-anak Malaysia yang menyambungkan pengajian di Republik Indonesia. Sejarah wujudnya PKPMI bermula di Pulau Jawa pada tahun 1945. Ketika itu organisasi pelajar-pelajar Malaysia yang ditubuhkan adalah Kesatuan Pelajar-pelajar Malaya (KPM) yang berpusat di Yogyakarta. Organisasi Pelajar-pelajar Malaya yang kedua didirikan di Sumatera pada tahun 1948 yang berpusat di Medan, yang dinamakan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaya di Medan.
Pada tahun 1965, KPM dibubarkan dan membentuk sebuah persatuan baru yang diberi nama Himpunan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (HPMI) yang berpusat di Yogyakarta. Pada tahun terjadinya konfrontasi Malaysia-Indonesia, tidak terdapat sebarang catatan tentang kegiatan pelajar Malaysia di Indonesia kerana semua pelajar pulang ke tanah air. Pada tahun 1967, pelajar-pelajar Malaysia mulai datang lagi ke Indonesia. Pada 18 Mei 1968, HPMI menjadi PKPMI, iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia dan menetapkan Jakarta sebagai pusat. Manakala Yogyakarta adalah sebagai cawangan PKPMI.
Sejak itu, PKPMI terus berkembang terutama di Pulau Jawa bagi membentuk beberapa buah cawangan PKPMI yang di antaranya cawangan Jakarta (18 Mei 1968), Yogyakarta (18 Mei 1968), Bogor (23 Mei 1968), Bandung (12 April 1969), Surabaya (10 November 1972), Bali (30 September 1986), dan Ujung Padang (17 Oktober 1987).
Setelah konfrontasi tamat, pelajar-pelajar Malaysia di Sumatera kembali ke Indonesia dan mendirikan Himpuanan Mahasiswa Malaysia Sumatera (HMMS) yang berpusat di Medan. Pada tahun 1982, HMMS dibubarkan dan bersatu dengan PKPMI. Dengan perkembangan ini semakin bertambah cawangan-cawangan PKPMI seluruh Indonesia.
Penubuhan cawangan-cawangan PKPMI di Sumatera bermula dengan cawangan Medan (Mei 1982), Aceh (25 Disember 1985) dan Padang (25 Mac 1986). Dengan berjalannya waktu, cawangan PKPMI turut bertambah. Cawangan-cawangan PKPMI yang lain adalah Semarang, Malang, Palembang, Pekanbaru, dan Jambi. Sehingga kini, terdapat 15 cawangan PKPMI di seluruh Nusantara.
Pada tahun penubuhannya, PKPMI telah diiktiraf oleh Kesatuan Besar Malaysia dalam menjalankan kegiatannya. Pada tarikh 4hb Februari 1969, persatuan ini diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.


Asas Dan Tujuan Tertubuhnya PKPMI

Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) adalah merupakan sebuah pesatuan yang berasaskan kepada pendidikan, persahabatan, dan kesatuan. PKPMI membantu meningkatkan mutu pendidikan dan kebajikan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia dengan berteraskan pada nilai-nilai Islam dan ideologi kebangsaan Malaysia (Rukun Negara).

Persatuan ini adalah sebuah peratuan yang telah diakui oleh Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI), secara tidak langsung, PKPMI berperanan sebagai :-

1.     Menyatupadukan seluruh pelajar Malaysia di Indonesia dalam usaha memupuk semangat kebangsaan dan rasa tanggungjawab berdasarkan Rukun Negara.

2.  Menjaga kepentingan dan kesejahteraan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia dalam segala hal perundingan dan perhubungan dengan pihak yang berkenaan.

3.  Berusaha mendekatkan hubungan antara pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia dengan pelajar-pelajardan masyarakat serta pelajar-pelajar asing yang lain di Indonesia.

4.     Menjalankan kegiatan sosial dan ilmiah yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan peraturan setempat.

5.      Meningkatkan dakwah dikalangan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia.

6.      Berkerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, khususnya Bahagian Pendidikan dan Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia dalam segala hal yang menuju tercapainya tujuan dan matlamat di atas.

7.      Berkerjasama dengan Konsulat Malaysia yang berada di Indonesia, iaitu Konsulat Jeneral di Medan dan Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Indonesia.