Senin, 11 Januari 2010

PERNYATAAN SIKAP PKPMI-CA TERHADAP ISU PEMBAKARAN GEREJA

PKPMI-CA MENGUTUK PERBUATAN MEMBAKAR GEREJA

PKPMI-CA percaya isu pembakaran gereja yang berlaku baru-baru ini adalah lanjutan daripada polemik penggunaan kalimah Allah yang berlaku baru-baru ini. Kejadian ini berikutan daripada kekeliruan masyarakat sehingga menimbulkan tanggapan yang negatif dari masyarakat dan dalam masa yang sama timbul syak wasangka dan persepsi yang negatif antara sesama penganut agama.

Justeru itu kami mengutuk sekeras-kerasnya dan amat kesal dengan tindakan pembakaran yang dilakukan oleh oknum-oknum yang tertentu. Ini adalah perbuatan biadab dan sabotaj yang bertujuan untuk mengeruhkan dan memicu konflik antara agama di Malaysia.

Aktiviti biadab dan sabotaj seperti ini tidak pernah diajarkan oleh Islam. Sesungguhnya Islam adalah agama yang menitik beratkan keadilan, kedamaian dan kesejahteraan. Islam juga menjaga hak setiap manusia dan warganegara. Hatta ketika dalam peperangan sekalipun Islam sangat menitik beratkan hak-hak terhadap agama lain seperti tidak membunuh penghuni gereja-gereja.

Justeru itu kami dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Di Indonesia Cawangan Aceh (PKPMI-CA) mendesak;

1. Mendesak supaya pihak kerajaan segera menyelesaikan isu polemik penggunaan kalimah Allah yang telah mengundang kekeliruan. Dan pihak kerajaan hendaklah lebih serius dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam sebagai agama rasmi seperti yang tertuang di dalam Perlembagaan Malaysia artikle 11 (4).

2. Media adalah minda bagi masyarakat: Kerajaan haruslah mengontrol media dan publikasi daripada oknum-oknum yang tertentu supaya fungsinya tidak disalahgunakan. (pemecahbelah masyarakat)

3. Menggesa pihak kerajaan supaya segera melakukan penyiasatan dalang di sebalik pembakaran ini dan mendesak supaya kawalan keselamatan diperketatkan.

Inilah pernyataan sikap daripada kami dari Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia Di Indonesia Cawangan Aceh (PKPMI-CA). Sehubungan dengan itu, Kami mengharapkan semua pihak agar bersatu dalam menyelesaikan isu sensitif ini. Menzahirkan Islam sebagai agama yang mementingkan hak setiap insan adalah tanggungjawab semua muslim.



Mohd Zaim Irsyad Bin Zainal Abidin
Pengerusi,
Biro Informasi dan Hubungan Luar
PKPMI-CA 2009/2010.



Mohamad Azzar Bin Ismail
Yang DiPertua,
PKPMI-CA 2009/2010.

Tidak ada komentar: