Senin, 21 Juni 2010

Kalam YDP 2010/2011


Alhamdulillahi rabbil ‘alimin, puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah SWT, pemilik alam semesta. Selawat dan salam kita kirimkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sosok tubuh yang telah mengegarkan dunia, yang telah merubah dunia dari alam kejahilan ke alam yang penuh dengan kemuliaan. Bagindalah tokoh reformasi dunia. Bagindalah pembawa rahmat keseluruh pelusuk alam maya ini. Tidak lupa juga kepada para sahabat baginda yang telah sama-sama berjuang untuk menegakkan kalimah Allah diatas dunia ini sehinggakan kita pada hari ini mampu menikmati indahnya kalimah tauhid ini.

Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukran kepada Allah kerana diberikan kepada kita dua nikmat yang hanya diberikan kepada mereka yang terpilih untuk mendapatkan hidayah-NYA yaitu nikmat Islam dan Iman. Dua nikmat ini jika dihitung tidak akan mampu untuk disamakan nilainya hatta seluruh isi alam kita pertaruhkan nilai untuk menyamai nikmat Islam dan Iman ini.

Sahabat seperjuangan yang ana banggakan,

Alhamdulillah sudah sebulan berlalunya Muktamar Sanawi ke-20 dan peralihan pucuk pimpinan persatuan. Baru sekarang ana dapat mencari ruang untuk melakarkan kalam ini. Hampir sebulan juga kita telah melepasi fasa penyempurnaan pimpinan persatuan yang kita sayangi ini. Berkat dan doa sahabat sekalian kami Pihak Majlis Tertinggi Persatuan akhirnya dapat menyempurnakan fasa perlantikan pengerusi dan timbalan pengerusi untuk biro-biro yang berada dibawah pimpinan kami dalam rangka untuk bersama-sama kami dalam usaha membawa persatuan kita ini kearah mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Pertama sekali, kami yakni Majlis Tertinggi PKPMI-CA mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua ahli persatuan kerana telah menunaikan kewajiban sebagai ahli serta menjayakan sesi Pilihan Raya Persatuan yang bertujuan untuk memilih pimpinan baru untuk memenuhi kerusi pimpinan yang telah dikosongkan oleh barisan kepimpinan PKPMI-CA sesi 2009/2010.

Sahabat, pewaris risalah Nabi,

Tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami ini bukanlah suatu hal yang menyenangkan. Ianya adalah malapetaka yang harus kami tanggung kerana amanah ini pasti akan ditanya dan persoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Namun kerana amanah merupakan tanggungjawab yang ditaklifkan Allah kepada kami maka akan kami lakukan yang terbaik untuk kebaikan kita bersama. Dengan itu kami mengharapkan kepada semua ahli dapat memberikan kerjasama yang baik kepada kami dalam rangka membawa PKPMI-CA maju setapak lagi kehadapan dalam menongkah arus perubahan. Kami mengalu-alukan kritikan daripada semua dan kami mengharapkan kritikan anda itu disertakan dengan solusi yang baik demi kebaikan kita bersama.

Sahabat seperjuangn,

Dalam usaha kami membawa persatuan untuk maju setapak lagi kehadapan, Majlis Tertinggi telah menetapkan beberapa visi, misi dan moto persatuan bagi sesi kepimpinan kali ini. Kami mengharapkan kepada semua ahli dapat memahami dan menghayati apakah yang ingin kami sampaikan dan perjuangkan dalam kepimpinan kali ini. Moga-moga usaha kita ini mendapat keredhaan Allah SWT. Berikut merupakan visi dan misi serta moto persatuan sesi kali ini (sesi 2010/2011):-

Misi :-

I- Membentuk jati diri mahasiswa dari sudut tarbiah dan akademik.

II-Memperkemaskan struktur organisasi bagi melahirkan mahasiswa yang berkepimpinan dan berpegang kepada prinsip Islam.

III– Menerap, mengaplikasi dan memperluaskan bi’ah solehah dalam skala PKPMI-CA.

IV- Menjaga kebajikan ahli PKPMI-CA secara bersama.

V- Mengeratkan silaturahmi ahli PKPMI-CA dibawah satu bumbung persatuan.

Visi :- “Melahirkan aktivis dakwah yang intelektual dan profesional berpandukan manhaj Islam, sebagai pengerak dan perubah dalam menyebarkan dakwah”.

Moto :- “Ukhwah Teras Kesatuan Ummah”

Akhir kalam, kami mengharapkan kerjasama daripada semua ahli dalam menjayakan misi, visi dan moto persatuan PKPMI-CA kali ini. Ingatlah, sebatang lidi akan mudah dipatahkan namun apabila lidi-lidi itu disatukan dalam suatu ikatan yang kuat nescahaya ianya tidak akan mudah dipatahkan. Firman Allah yang bermaksud : “Bertolong-tolonganlah kamu atas perkara kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan”. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat”

Sekian sahaja buat pertemuan kali ini, segala kelebihan datangnya dari Allah.

Wassalam.

Mohd Zulkarnain Bin Aman Razali

YDP PKPMI-CA 2010/2011


Tidak ada komentar: