Jumat, 22 April 2011

Profesionalisme Dalam Pekerjaan

Sebelum masuk ke tajuk yang ingin dibahaskan, Sayugianya kita patut rasa berbangga atas kejayaan yang pernah dilalui oleh orang Islam di Aceh khususnya. Di dalam kaleideskop Bumi Aceh ini, pernah diperintah oleh pemerintah yang suka kepada ulama’, menjalankan syariat Islam dan pernah menjadi kuasa besar yang bisa dikatakan ditakuti oleh musuh-musuh Islam kegemilangan Tamadun yang pernah mereka raih sebelum ini. Kuasa pemerintahan mereka besar sehingga masuk ke Tanah Melayu –Perak, Kedah, Penang, Pattani dll- sehinggakan Islam tersebar luas di kalangan masyarakat pada ketika itu.

Akhirnya kerajaan Islam Aceh tumbang pada tahun 1903, beberapa tahun sebelum Dinasti Khilafah Uthmaniyyah jatuh pada tahun 1924. Para musuh-musuh Islam berjaya memerangi umat Islam, dengan pendekatan peperangan ideologi dan disamping beberapa cara lain termasuk dengan kemasukan candu/ganja dan rokok ke dalam dunia Islam yang di bawa oleh Barat –Inggeris dan Belanda- pada zaman keruntuhan kerajaan-kerajaan Islam di dunia.

Apa yang terjadi

Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk membina kembali empayar Islam dan merampas kembali apa yang seharusnya menjadi hak-hak umat Islam. Masih ingatkah kita bahawa kita pernah hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam, hidup aman damai bersama dengan penganut agama lain, tiada gangguan, peperangan dan sebagainya yang mengganggu ketenteraman hidup beragama? Masih ingatkah kalian?

Umat Islam sekarang ditindas sedemikian rupa, dinafikan hak asasi manusia, di larang melakukan ritual di tempat-tempat awam dan sebagainya. Pokoknya setiap apa yang digambarkan seorang Muslim itu, adalah seorang pengganas –terroris-, suka melakukan keganasan, kekacauan serta membuat kehidupan dunia tidak tenteram. Adakah kita sebagai Muslim membiarkan saja perlakuan orang-orang yang menindas kita dan redha terhadapnya? Adakah kita mengatakan bahawa kita sebagai umat pilihan Allah tetapi dimanakah keistimewaan kita itu**? Di manakah hak-hak kita sebagai umat yang dikatakan istimewa itu? Adakah ianya hanya sebagai utopia yang hanya berada di awang-awangan? Adakah kita umat sebegitu? Tepuk dada tanya iman.

Tanggungjawab Sang Pemikul Amanah

            Allah SWT telah mengamanahkan kepada kita untuk mentadbir dan menguruskan Bumi dengan baik. Secara keseluruhannya di generasi awal tamadun pertama manusia di Bumi, mereka memulakan pengurusan “Operasi Mengurus Bumi” dengan pertanian. Sungguh, pertanian merupakan konsep organizing yang baik untuk generasi awal tamadun manusia. Mereka mengelola lalu menghasilkan berbagai jenis hasil. Setelah berkurun lamanya manusia hidup di Bumi, sampai sekarang, pertanian masih lagi menjadi hasil perekonomian sesebuah negara. 

            Lalu apakah yang ingin aku sampaikan? Yang ingin disampaikan adalah pengurusan yang profesional dalam pekerjaan. Mungkin di sini banyak perbahasan mengenai konsep ketamadunan, gerak kerja dan sebagainya tetapi tulisan ini memfokuskan terhadap gerak kerja manusia yang kurang profesional oleh kerana terdapat ALASAN-ALASAN yang sebenarnya tidak boleh diterima oleh sesorang pekerja kakitangan kerajaan/awam atau swasta ataupun masih lagi mahasiswa di mana-mana pun.

            Pengurusan ini mestilah dijalankan oleh orang yang benar-benar cekap, bertanggungjawab serta amanah dalam setiap pekerjaan baik indoor mahupun outdoor. Hal ini harus dilakukan dengan baik agar setiap pengurusan itu berjalan dengan lancar di samping kita sebagai pekerja memudahkan urusan dengan manusia dan memudahkan urusan-urusan kita yang lain.

            Konsep memberi dan menerima harus dilaksanakan. Apabila kita melakukan kerja-kerja dengan baik, maka kita akan mendapatkan reward yang selayaknya hasil kerja keras kita. Jika tidak, punishment menanti kita di hujung pekerjaan. Dalam Islam, konsep ini juga digunapakai dalam urusan ibadah kita dengan Tuhan, jika kita melakukan amal kebajikan atau kebaikan, maka kita akan mendapatkan pahala, begitu juga sebaliknya, akan mendapat dosa. Itulah ganjaran yang bakal diterima dan di simpan di dalam “akaun simpanan tetap” yang akan di check di akhirat kelak.

Dilema Umat Islam dalam Pekerjaan

            Realiti umat Islam sekarang adalah tidak merasakan amanah di dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Adalah amat memalukan seorang pekerja hanya datang kerja hanya untuk makan gaji buta. Amanah yang diserahkan tidak di jalan dengan baik. Orang seperti ini bakal merosakan institusi berkenaan. Jika dibiarkan, maka akan terjadi kerosakan yang terlalu parah dan agak lama untuk memperbaikinya. Hasil kajian menunjukan bahawa seseorang pegawai atau pekerja yang tidak menjalankannya dengan baik, maka akan terjadi permasalahan yang ketara antara urusan-urusan yang lain.

            Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi SAW bersabda, “Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan ianya akan di pertanggungjawabkan”

            Apabila kita melihat realiti sekarang, umat Islam pada pandangan orang Barat adalah bangsa yang mundur. Kenapa mereka mengata begitu? Menurut pandangan beberapa ahli profesional ataupun ahli pengurusan sumber daya manusia, seseorang yang tidak menjalankan kerjanya dengan baik ,menyebabkan pengurusan di sektor-sektor lain tergendala. Bukan hanya menyusahkan diri sendiri malah menyusahkan orang lain. Pekerja seperti inilah yang harus kita teliti dan perhatikan.

            Jika kita melihat keadaan umat Islam sekarang, mengapa kita kelihatannya seperti mundur, bahkan negara-negara maju seperti Amerika, Britain, Kanada dan Jepun telah mencapai kemajuan teknologi yang sangat dibanggakan. Sedangkan negara-negara umat Islam sekarang kelihatan mundur walaupun telah disekularkan oleh pihak Barat! Walaupun telah disekulerkan, masih lagi ditahap yang minimum, tidak setanding dengan kemajuan yang telah dicapai oleh Barat.

Kronologi Kemajuan Barat dan Khilafah Uthmaniyyah

            Masihkah kita berbangga dengan kemajuan tamadun yang pernah dicapai oleh tamadun Islam dahulu. Kita masih lagi boleh berbangga dengan pencapaian kita dulu kerana tamadun kitalah yang menggerakkan gerakan modernisasi di Barat. Sewaktu Tamadun Islam mencapai ke kemuncaknya, Barat masih lagi di zaman kegelapan. Setelah mereka belajar dari dunia Islam, mereka membawa pulang ke negeri-negeri mereka di Barat.

            Tidak beberapa lama kemudian, mereka melakukan revolusi besar-besaran dengan memisahkan otoriti gereja dengan kehidupan dunia. Maka sejak dari revolusi atau dikenali dengan Renainssence itulah, ilmu pengetahuan yang mereka dapatkan dari dunia Islam, mereka aplikasikan lalu terjadilah modernisasi besar-besaran di Eropah.

            Menyoroti kembali peristiwa silam tamadun Islam, kita melihat kejayaan Islam dalam ekspidisi menawan konstantinopel oleh Sultan Mehmet II (Sultan Muhammad al-Fateh-gelaran al-fateh ini diberikan kerana kejayaannya menawan kota konstantinopel) adalah sangat teliti dan memerlukan kepakaran-strategi yang tinggi di dalam mencapai kejayaan penaklukan Kota Konstantinopel.

            Hadis Rasulullah menjadi sandaran kepada umat Islam ketika itu. Beberapa ekspidisi try and error dilakukan oleh pemerintah Islam demi membuktikan kebenaran kata-kata Rasulullah SAW. Walaupun pemerintah-pemerintah sebelum Sultan Mehmet II gagal menawan kota tersebut, tapi mereka meninggalkan legasi-legasi yang cukup bermakna buat generasi seterusnya.

            Berbekalkan pengalaman generasi lalu dan peninggalan legasi-legasi yang di tinggalkan, Sultan Mehmet II mengerahkan seluruh ahli yang profesional menyiapkan kelengkapan untik ekspidisi menawan Kota Konstantinopel. Jika kita meneliti konsep kerja yang dilakukan, mereka melakukan dengan sangat-sangat tekun dan teliti. Menyiapkan segala persiapan dengan tepat pada masanya. Segala gerak kerja berjalan dengan lancar dan rapi. Bukan itu saja, perlengkapan ruhaniah para tenteranya pun di ambil kira.

            Sultan Mehmet II amat marah jika perlaksanaan tugas tidak dilakukan dengan tidak sempurna dan tidak menepati piawai yang ditetapkan. Jadi Sultan Mehmet II adalah seorang yang amat teliti, profesional dan amanah dalam menjalankan tugas sebagai seorang khalifah. Sewaktu tenteranya tidak dapat melepasi kawasan Tanduk Emas, di pecatnya seorang panglima perangnya lalu dia mengambil alih peranan panglima perangnya.

            Bagi Sultan Mehmet II, masa itu adalah emas. Jika terlepas dari sasarannya, maka semua gerak kerja akan total gagal! Penguasaan ilmu tentang geografi dan matematik serta sejarah menyebabkan Sultan Mehmet II membuat sebuah idea gila yang mana beliau menukarkan daratan menjadi lautan! Kapal perangnya merentasi gunung (kalau tak salah) dalam hanya 1 malam. Dengan teknik kiraan matematik (masa x jarak), beliau akhirnya berjaya menawan kota Konstantinopel. Dan benarlah, beliau adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. (lihat dalam konsep taat terhadap pemimpin)

            Dan setelah ekspidisi penawanan kota Konstantinopel berjaya pada tahun 1453 M, Sultan Mehmet II membina empayar Khilafah Uthmaniyyah menjadi moden, sebagai Pusat Islam dan ilmu yang terkemuka di dunia.

Kesimpulan

            Pengajaran dalam kronologi ini, bahawa konsep profesionalisme inilah yang diperlukan dalam memajukan serta memartabatkan sesuatu tamadun atau negara. Dilihat konsep bekerja rakyat Jepun, mereka sangat-sangat disiplin dalam berkerja. Bukan itu saja, mereka sangat menjaga prioriti sesuatu perkara. Hal seperti inilah yang diajarkan di dalam Islam. Tetapi di mana salah silapnya, umat Islam mundur dalam soal kedisplinan.

            Perlu diingatkan bahawa amanah sangatlah penting dalam menjalankan sesuatu tugas. Amanah juga dititikberatkan dalam aspek ibadah juga. Oleh sebab itu, umat Islam digalakan solat di awal waktu kerana selain dari waktunya yang terbaik, ia akan memudahkan urusan kita yang lain. Apabila urusan kita dengan Tuhan selesai, maka urusan dengan manusia akan selesai juga. Inilah konsep amanah. Dan amanah ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

            Jagalah hubungan kita dengan Allah SWT. Jika kita merasakan bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui, maka urusan kita pun akan terlaksana dengan baik. Buang masa akan menyebabkan semuanya menjadi tidak teratur dan menghasilkan sebuah kegagalan. Mudah-mudahan kita bukanlah di antara golongan umat yang malas.

Tidak ada komentar: