Jumat, 05 Februari 2010

PKPMI-CA Terima Kunjungan Speaker DUN Kelantan

Sebentar tadi, pimpinan PKPMI-CA mengiringi keberangkatan pulang rombongan dari Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim. Rombongan ini diketuai oleh Y.B Ust Hj Nasaruddin bin Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan (Adun Meranti), Y.B Ust Abdullah Yaakob (Adun Air Lanas) dan YB. Drs.Zainuddin Awang Hamat (Adun Limbongan). Turut bersama mereka dalam kunjungan lima hari ke bumi Aceh Darussalam bermula tanggal 1 Feb 2010 yang lalu sehingga hari ini adalah Ybhg Hj Mohamad Apandi (Penyelia Parlimen Jeli), Al-Fadhil Ust Mansor bin Daud (Mudir Ma’ahad Muhammadi Lil Banat), Al-Fadhil Ust Tajuddin (Mudir Rahmah, Kenali) dan beberapa orang yang lain.

Dalam kunjungan mereka ke Aceh, mereka sempat bertemu setiausaha kepada Gubernor Aceh pada hari Rabu. Gubernor Aceh, Irwandi Yusuf dan wakilnya (timbalannya), Mohamad Nazar, saat itu berada di Jakarta atas urusan rasmi kerajaan Aceh. Y.B Ust Nasaruddin Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan (Adun Meranti) diberi penghormatan menyampaikan Kuliah Maghrib pada hari Rabu malam Khamis di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh yang disiarkan secara live oleh Radio Baiturrahman.

Seusai solat Isya’, satu pertemuan antara pihak Kerajaan Negeri Kelantan ini bersama seluruh mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry, Aceh diadakan. Majlis dialog bersama pimpinan ini dilaksanakan di Training Centre Putroe Phang, Banda Aceh dengan kehadiran lebih 100 mahasiswa. Pada kesempatan tersebut, Y.B Ust Hj Nasaruddin menjelaskan beberapa isu seperti royalti minyak yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat, kalimah Allah, pembakaran gereja, insiden kepala babi, slogan One Malaysia dan sebagainya. Penjelasan lebih terperinci mengenai isu royalty minyak disampaikan oleh Ybhg Hj Mohamad Apandi. Turut menyampaikan ucapan adala YB Drs Zainuddin Awang Hamat dan YB. Ust Abdullah Yaakob.

Pada akhir pertemuan, ruang diberikan kepada mahasiswa untuk mengemukakan sebarang persoalan berkaitan isu-isu terkini di Malaysia. Sumbangan kepada PKPMI-CA turut diserahkan oleh Y.B Ust Nasaruddin melalui YDP PKPMI-CA, Al-Akh Mohammad Azzar Ismail.

Sebaik sahaja rombongan Kerajaan Negeri Kelantan berangkat pulang, PKPMI-CA terus menunggu kehadiran rombongan dari mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM seramai 39 orang yang tiba sekitar jam 12.30 t.hari tadi. Mereka akan berada di Aceh sehingga tanggal 8 Feb ini.

Tidak ada komentar: