Rabu, 21 April 2010

KOREKSI DIRI

Apa ada pada diri kita yang terkadang kita rasa kita kuat, adakalanya terlalu lemah untuk menghadapi setiap halangan yang terbentang di hadapan kita. Terpaksa ditempuhi tanpa diberi pilihan untuk memilih sama ada teruskan atau kalah sebelum mencuba kemampuan diri? Banyak sebenarnya tapi yang menjadi perhatian di sini adalah ‘Keyakinan Diri”…

Keyakinan diri ialah pandangan diri terhadap diri sendiri tentang kemampuannya untuk berjaya dengan cemerlang dalam hidup di dunia dan akhirat.

Keyakinan sangat sinonim dengan harga diri. Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi akan juga mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Namun, jangan pula tersilap, sehingga kita merasakan bahawa orang yang mempunyai keyakinan diri itu adalah orang yang ego atau sombong. Ramai juga yang kelihatan sombong di luar, tapi dalam dirinya sendiri adalah orang yang rendah diri.

Keyakinan adalah perasaan stabil dan serasi dengan diri sendiri yang menyebabkan kita rasa layak, mampu dan yakin untuk mencapai kejayaan. Jika kita rasa lemah, tidak berdaya, bukan bererti kita kita memang lemah dan sedia tidak berdaya, cuma kita belum mengenali dan menerokai kekuatan diri kita yang sebenar. Atau kita sudah menemuinya tetapi belum mahir mengendalikannya.

Kita perlu menggunakan seluruh ‘kelengkapan’- yang berupa nikmat, bakat, ilmu dan kebijaksanaan yang diberikan Allah kepada kita dengan sebaiknya. Kita mesti mengembangkan kelengkapan itu sebaik-baiknya dan menggunakannya pula ke arah kebaikan.

Keyakinan kepada diri sangat terkait dengan keyakinan kepada Allah. Yang bermakna, sesiapa yang lebih kuat keyakinan kepada Allah, maka dialah yang paling kuat keyakinannya terhadap diri sendiri.

“Kekuatan” dalam diri ialah apabila kita dapat melakukan sesuatu yang perlu dilakukan dan meninggalkan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Kita ingin menjadi seorang yang kuat. Kuat dalam erti kata dapat menentukan arah dan jalan hidup kita sendiri. Kuat untuk menghadapi rintangan dan akhirnya meraih kejayaan. Kuat untuk mengakui kesalahan dan memperbaikinya. Kuat untuk bertanggungjawab terhadap keputusan yang dipilih dan sanggup menanggung risikonya.

Namun pada masa yang sama perlu diingat bahawa ‘yakin’ yang dijelaskan di sini adalah yakin dengan kebenaran yang diperkatakan. Bukan yakin memperjuangkan yang batil, Walaupun sudah dimaklumi kebatilannya sesuatu perkara itu, namun masih berani melaung-laungkan kabatilan tersebut. Alangkah ruginya mereka ini, yang berpedomankan hawa nafsu dan egoism yang menyaluti hati-hati mereka.

Jadi…ape lagi? Jadilah kita seorang yang berkeyakinan tinggi, bersemangat waja tapi penuh dengan rasa rendah diri, tawadduk tanpa secalit pun perasaan sombong, egois dan bangga diri walau sehebat mana pun kita..:)


Nur Madihan Yaacob
Pemangku,
Pengerusi Biro Akademik dan Penerbitan,
PKPMI-CA

Tidak ada komentar: