Senin, 03 Mei 2010

Ummah Talk: “Kita Mahasiswa-Kita Adalah Dosen” Berjaya

Hampir jam 11 pagi semalam, acara Ummah Talk yang mengangkat tema ‘Kita Mahasiswa-Kita Adalah Dosen’ berakhir. Acara yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cabang Aceh (PKPMI-CA) yang bermula jam 9 pagi semalam telah diisi oleh pemateri jemputan iaitu Al-Fadhil Ust Ramadhanus, Direktor Gradasi Learning Institute.


Acara ini dilaksanakan di Masjid Baitul Muttaqin, Darussalam, Banda Aceh yang terletak berhampiran kampus IAIN Ar-Raniry dengan kehadiran sekitar 50 mahasiswa Malaysia yang menuntut di IAIN Ar-Raniry. Acara yang dianjurkan menjelang Muktamar PKPMI-CA ini dimulai dengan bacaan ayat suci Al-Qur’an oleh Al-Akh Muslim Amran dan ucapan alu-aluan oleh YDP PKPMI-CA, Al-Akh Mohammad Azzar Ismail.


Dalam pengisiannya, Ust Ramadhanus menyentuh mengenai keperluan seorang mahasiswa Islam berperanan seperti seorang dosen di sudut sifatnya sebagai pengajar, pembimbing, mengambil tahu hal ehwal pelajarnya dan pendidik. Dosen yang dimaksudkan adalah dosen kepada ummah ini. Ertinya, mahasiswa bukan sebatas menjadi seorang yang mendengar atau belajar, bahkan mereka adalah guru buat semua manusia yang mendatangkan manfaat bagi sesiapa sahaja sepertimana Hadis Rasulullah: Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat pada manusia yang lain.


Tambahnya, dakwah adalah sebuah kewajipan bagi semua mahasiswa Muslim dan tugasan ini tidak memerlukan kita menjadi seorang ustaz atau ustazah sahaja, bahkan dakwah perlu dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dalam ruang lingkup bidang yang mereka ceburi. Beliau juga menjelaskan bahawa, kegagalan dakwah antara lain berpunca dari sikap da’ie itu sendiri yang gagal menunjukkan qudwah yang terbaik.

Tidak ada komentar: