Jumat, 13 Januari 2012

Dinamika Usrah: Satu Penjelasan


Oleh: 
Mohd Zulkarnain Bin Aman Razali

Dialog 1:-

Ahmad: “Malam ni usrah, ko pegi tak?

Din: “Ah, malaslah aku nak pi. Bukan ada apa pun, bazir mase je. Baik aku studi”

Ahmad: “eleh, poyo je, ko study ker atau ngadap laptop, main fb? Zaman IT katekan..”

Din: “lebih baik main fb, syok ckit…”

 Ariff: “Tak payah pegi usrah der, aku dulu pun bukan pi usrah, mula-mula je pi, tunjuk muka, pahtu takde makna dah, tak nampak lah muka aku.. persatuan bukan boleh buat apa-apa pun..”

Ahmad: “ni sorang lagi, ko riff, klu tak suka pi usrah, jangan duk hasut-hasut orang lain.. ko sepatutnya bagi semangat kat kawan ko ni.. biar kita bertambah ilmu ckit, nanti nak berjuang dan berdepan ngan orang kampong senang.. klu diorang nak tanya hokum agama nanti, takde diorang tanya ko tu bljar usuluddin ke atau syaraiah??...”

Ariff: “ah ko, apa-apa je lah.. baik aku blah dulu, isi perut lagi best..”

Din: “ye lah mad, aku ikut ko pi usrah malam ni…”

Ahmad: “haa.. canteeek… tulah baru member beb..”

************


Dialog 2:-

Kamarul: “Camne usrah nta akhi? Lumayan?

Khairil: “Alhamdulillah, lumayan.. mereka semangat nok cari ilmu.. nta camner?”

Kamarul: “Alhamdulillah, tapi yang ana sedih.. jumlah yang datang tak ramai akhi..”

Khairil: “Sabar akhi, dakwah ni banyak ragam dan cobaannya.. kite sebagai dai’e kene banyak bersabar.. Allah selalu ada dengan orang yang sabar.. Insya Allah dakwah kita akan diterima, Nabi kita juga banyak terima ujian. Yang penting kite tetap istiqamah dan pantang mundur. Kita pewaris rantai perjuangan Baginda nabi akhi..”

Kamarul: “hmm.. Syukran akhi, ana faham tentang perkara tu. Tapi ana lemah bile mereka tak boleh terima ana.. nta taukan ana dulu macam mana..”

Khairil: “Perkara yang lepas usah dikenang akhi. Orang yang bertaubat nasuha, insya Allah diri ibarat bayi yang baru lahir. Keep spirit, nta ingatkan kata nabi?, lihat pada apa yang disampaikan, bukan siapa yang menyampaikan.. kata-kata Nabi ini mengambarkan bahwa setiap kebaikan yang datang dari seorang hamba yang hina sekalipun, jika ianya adalah perkara baik wajib untuk kita ambil manfaatnya…”

Kamarul: “syukran akhi atas tausiyah nta, insya Allah ianya adalah suatu kekuatan untuk ana berdakwah.. moga amal kita diterima oleh Allah..”

Khairil: “insya Allah, amiin…”

*************

Fobia atau Malas??

Usrah. Banyak feedback yang diperolehi dikalangan sahabat-sahabat tentang usrah. Mengikut pengalaman saya, sepanjang terlibat dengan usrah dan membawa usrah, saya dapati ada respon positif dan ada juga respon negatif. Itu lumrah. Namun lumrah tidak boleh kita biarkan, harus ada usaha untuk menjadikannya lebih positif. Ada dikalangan kita bila sebut je pasal usrah akan menjadi fobia. Bila bertanya tentang usrah, merah padam muka, tersipu-sipu malu untuk menjawab. Saya tidak tahu apa puncanya. Bagi saya yang pernah mengikuti usrah dan menjadi naqib usrah, banyak manfaat yang saya perolehi. Bagi pandangan saya, respon positif atau negatif berpunya dari sikap yang lahir dari diri kita sendiri. Bagaimana sikap dan pendirian kita bila mendepani persoalan usrah. Sebenarnya, fitrah manusia menyukai perkara-perkara baik dan usrah itu memang adalah perkara yang baik. Ianya sudah sejajar dengan fitrah manusia, namun tetap juga kita memberi respon yag negatif. Gunakan hati anda untuk mengawal sikap anda dalam memberi respon tentang usrah.

Usrah permulaan dakwah Islam

Dakwah Islam  bermula selepas Allah melantik baginda Nabi menjadi Rasul-Nya. Maka bermulalah rentetan dakwah nabi yang bermula dari rumah Al-Arqam bin Abi Arqam. Disinilah nabi berusrah dengan para sahabat untuk memberi penjelasan dan pengenalan berkenaan ajaran tauhid. Materi berkisar pada persoalan aqidah dan mengEsakan Allah Ta’ala. Penekanan tauhid diberikan sebagai pondasi awal untuk mengukuhkan jati diri para sahabat dalam mendepani pelbagai dugaan dan cabaran yang akan mereka hadapi dalam menentang musuh-musuh Allah. Dari usrah inilah lahirnya jiwa-jiwa yang hebat dan tabah dalam berhadapan dengan setiap dugaan yang mereka harungi. Lihat saja kepada Bilal bin Rabah, Sumayyah, Yasir, Abu Bakar As-Siddiq dan lain-lain. Mereka adalah orang-orang yang tabah menghadapi dugaan dan ujian. Inilah hasil dari proses sebuah usrah. Ditambah lagi dengan tiga rukun usrah yakni at-ta’aruf (berkenal-kenalan), at-tafahum (bersefahaman) dan at-takaful (bantu membantu) pasti akan mampu membentuk satu masyarkat yang hebat yang siap mendepani pelbagai rintangan dalam menegakkan dan meninggikan kalimah tauhid diatas muka bumi Allah ini.

Apa yang dikehendaki dari usrah ni?? Hasil dari usrah, kita ingin terwujudnya insan-insan yang mempunyai jiwa yang sensitif apabila terjadinya perlecehan terhadap agama Islam dan juga umat Islam yang lain. Kita bukan hendak membina manusia yang jiwanya hanya lembut apabila berdepan dengan wanita, tapi juga lembut dan sensitif apabila Islam diinjak-injak. Lihat saja pelbagai isu yang melanda Negara dan dunia Islam kita. Pelbagai ragam yang berlaku, namun apakah ada secebis rasa sensitif yang lahir dari dalam diri kita?? Saya melihat kurangnya tindakan-tindakan yang dilakukan. Hanya 50% pemuda Islam yang cakna terhadap isu-isu ini. Jadi, dimana perginya 50% lagi?? Mereka ada, namun hati mereka tidak sensitif kerana tidak ada roh dan semangat cintakan Islam wujud dalam diri mereka. Hati mereka seakan-akan sudah menjadi batu. Keras. Kesan dari ini, kita tidak menanggapi isu tentang palestin, kiblat ketiga umat Islam. Kita tidak mengambil tahu tentang saudara kita di gaza, Somalia dan lain-lain. Nabi kita pernah bersabda:-

Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan ummat Islam, maka dia bukanlah dari kalangan ku”

Saya begitu bimbang seandainya kita termasuk dari kalangan yang dikatakan nabi “maka dia bukanlah dari kalanganku”. Diakhirat kelak, kita amat-amat memerlukan syafa’at nabi Muhammad untuk menuju ke syurga, namun seandai ini yang berlaku kepada kita, bagaimana mungkin kita akan dapat syafa’at tersebut. Jadi, disinilah peranan dan tanggungjawab usrah untuk membina dan melahirkan pemuda-pemudi Islam yang sensitive dengan keadaan umat Islam dan Agama Islam. Dari sini jugalah kita ingin melahirkan pemuda-pemudi yang tidak takut untuk berjuang dan berjihad saat panggilan jihad berkumandang nanti. Begitu besar peran dan manfaat usrah, namun kita masih menanggap ianya enteng dan sepele. Firman Allah SWT:

“Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” [Ali-Imran:85]

Hidup untuk memberi, hidup juga untuk menerima.

Perlu digilap dan difahami bahwa hidup –tidak mempersoalkan tujuan Allah ciptakan manusia untuk beribadah kepada-NYA- adalah untuk memberi dan menerima.  Sebab, kita berada didunia ini secara kolektif dan bermasyarakat. Jadi, tuntutan untuk memberi dan menerima harus diaplikasikan dalam hidup. Jika kita hanya hidup untuk memberi, kita adalah orang yang sombong. Jika hidup hanya untuk menerima, kita adalah orang yang malas. Dalam sebuah komuniti manusia, ada pelbagai ragam manusia, yang bijak, yang cerdik, yang bodoh, yang rajin, yang malas dan lain-lain. Dari kalangan mereka ada yang menjadi petani, penternak, ustaz & ustazah, karyawan, pegawai bank, enginer, usahawan dan lain-lain. Mereka ini saling memerlukan antara satu sama lain dalam menuju matlamat mengEsakan Allah. Dari sikap memerlukan inilah lahir suatu ungkapan “hidup untuk memberi dan menerima”. Saya amat tertarik dengan istilah yang digunakan oleh ustaz Hasrizal, yakni “erti hidup pada memberi”. Ungkapan ini ringkas namun mendalam maknanya. 

Begitu juga usrah. Usrah sifatnya fleksibal. Ianya tidak bersifat mengonkong. Dalam usrah ianya mengajar kita untuk bersikap memberi dan menerima. Tidak ada manusia yang sempurna. Kita bukanlah Nabi yang maksum. Kita juga bukanlah malaikat. Iman kita sentiasa naik, kadang-kadang iman kita akan menurun. Namun menjadi kewajiban untuk kita mempertingkatkan iman kita. Naqib yang membawa usrah bukanlah seorang yang maksum. Mereka juga pernah melakukan kesilapan. Mereka juga sedang dalam proses pembelajaran, sama seperti kita. Kekurangan yang ada harus kita fahami bersama. Saya yakin, setiap naqib yang diberi tanggungjawab akan berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas. Bagi menutupi kekurangan itu, maka tugas kitalah yang mengikuti usrah berbagi ilmu dan saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Disinilah manisnya kita berusrah apabila masing-masing dari kita saling berkongsi ilmu. Berdiskusi demi mencari satu jawapan. Berdialog demi mencari satu kesepakatan. Memperbaiki kesalahan demi mencari kebenaran. Seandainya kita mampu melakukannya, bibit-bibit ukhwah itu pasti akan tersemai dalam jiwa kita sesama saudara Islam. Rasa ukhwah inilah akan memperkuatkan Islam dalam menentang sebarang jahiliyyah yang tidak segan silu memasuki kedalam akal fikiran dan budaya orang Islam saat ini.

Kita harus belajar untuk menerima dan juga belajar untuk memberi. Menerima apa saja perkara baik walaupun ianya datang dari manusia hina. Memberilah apa saja yang kita miliki walaupun sedikit. Mengajak orang ke masjid itupun sudah dikira memberi yakni memberi peringatan bahwa solat berjemaah derajatnya 27. Kalau itu saja yang kita mampu lakukan, maka lakukanlah dan memberilah. Kadang-kadang kita terlalu ego. Kita melihat dan mendengar keburukan yang dilakukan oleh seseorang dimasa silamnya, maka kita dengan bersungguh-sungguh memandang hina kepadanya padahal dia sudah berubah. Kita ego untuk menerima perubahannya seolah-olah manusia ini tidak ada ruang untuk bertaubat. Ruang taubat kepada Allah sentiasa terbuka selagi mana nyawa tidak lagi sampai ke halkum. Apabila mereka sudah bertaubat, berlapang dadalah. Terimalah kebaikan yang ingin dia lakukan, kerana kebaikan yang dilakukan itu lahir dari rasa keinsafan dan terbit dari sinar taubatnya itu. 

Dinamika usrah

Keluhan seorang teman, “ouh, usrah asyik-asyik dimasjid, asyik dimasjid, boring lah”. Sebenarnya usrah bukan hanya tertumpu dimasjid. Usrah boleh dibuat dimana-mana sahaja yang kita suka. Dipantai, padang bola, kedai kopi, kedai makan, warnet, tempat-tempat rehlah, dilapangan, ditaman-taman atau dimana saja tempat asal sahaja ianya kondusif. Usrah tidak hanya perlu untuk kita berkumpul ramai-ramai, tapi ziarah, lawatan, bersukan, rehlah, berprogram dan lain-lain juga boleh kita istilahkan sebagai usrah. Jangan kita sempitkan kefahaman kita dengan hal-hal yang tidak betul. Usrah memerlukan interaksi dua hala yakni respon dari naqib dan juga ahli usrah. Tidak hanya naqib sahaja yang banyak ngomong. Ahli-ahli usrah berhak untuk bertanya apa sahaja yang menyangkut materi yang dibincangkan. Adalah menjadi suatu kesalahan kepada naqib, apabila mewujudkan situasi yang tidak kondusif didalam usrah. 

Tidak adanya interaksi dua hala akan menyebabkan usrah menjadi lesu dan mem“boring”kan. Usrah akan menjadi enak apabila ianya dibuat didalam keadaan santai dan terbuka. Dalam hal ini naqib harus memainkan peranan, jangan sampai wujud keadaan seolah-olah ‘syok sendiri’. Hal ini akan membawa satu persepsi buruk dari kalangan ahli usrah kepada fungsi usrah itu sendiri. Mewujudkan sistem interaksi dua hala juga memerlukan peranan dari ahli usrah, ianya menuntut dua-dua pihak untuk lebih agresif dan kreatif dan menjayakan usrah.

Usrah hanya sebatas nama. Anda boleh memberi nama yang lain yang anda sukai. Terpulang. Asal ianya tidak lari dari konsep asas usrah. Selagi konsep itu dikekalkan, terserah kepada anda untuk memberi apa-apa nama. Jangan anda mengangap usrah ini jumud. Ianya bersifat terbuka. Setiap pandangan akan diterima selagi ianya berada dilandasan syarak. Dari perbezaan pandangan dan sudut pemikiran, kita akan mencari titik pertemuan dan jalan penyelesaian agar perbezaan kita itu membawa rahmat dan kebaikan untuk setiap individu yang terlibat dengan usrah.

Ubah minda

Sikap songsang dalam pemikiran harus diubah. Minda harus dijernihkan. Gunakan hati dan akal yang sihat dalam memberi pandangan terhadap fungsi usrah. Untuk memahami tentang peranan dan fungsi usrah, anda harus mewujudkan rasa ingin TAHU agar ianya dapat mencetuskan perasaan MAHU TAHU tentang usrah. Jernihkan fikiran anda. Lakukan anjakan paradigma sekurang-kurangnya pada minda dan cara berfikir anda. 

Wallahu’alam.

------------------------------------------------------
Penulis merupakan pelajar tahun akhir di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry dalam jurusan Syariah, Ahwalus Syakhsiyyah (SAS) dan merupakan mantan Yang Di Pertua, PKPMI CA sesi 2010/2011

Tidak ada komentar: