Selasa, 26 Juni 2012

SMMS: Tahniah Dr Morsi


Dr Mursi: Presiden Mesir Yang Baru
Pemimpin datang dan pergi. Sejak ribuan tahun, ramai pemimpin meninggalkan legasi tersendiri. Budi dan jasa mereka dicatat dan dibaca berulang kali. Jika baik catatan pemerintahan mereka, maka mereka disanjungi. Jika buruk pemerintahan mereka, mereka dikeji, dibenci.

Alhamdulillah, tanggal 24 Jun menjadi permulaan catatan pemerintahan Dr Morsi dan Ikhwanul Muslmimin. Seluruh dunia tertumpu kepada kejayaan Dr Morsi sebagai Presiden Mesir. Solidariti Mahasiswa Malaysia Se-Dunia (SMMS) juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Dr Morsi atas pertabalan dan takziah atas tanggungjawab yang bakal dipikul.

Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan jika satu kepimpinan tidak diuruskan dengan baik:
“Kamu semua bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu nikmat pada awalnya tetapi buruk pada akhirnya ” ( Hadis Riwayat Muslim)
SMMS sedar bahawa kemenangan yang dicapai oleh Ikhwanul Muslimin hari ini bukan atas usaha semalaman. Ia usaha puluhan tahun sejak dari zaman Imam Hasan Al-banna lagi. Disebalik kejayaan hari ini ada jiwa yang terkorban, ada wanita menjadi janda, ada yang dikurung dalam penjara, ada diseksa separuh nyawa. Bahkan kami juga sedar bahawa usaha ini bukan dimulakan oleh Imam Hasan Al-Banna, bukan diakhiri dengan Dr Morsi, tetapi kita hanya menyambung usaha para nabi.

“Rasulullah SAW bersabda: Kalian akan mengalami masa kenabian sampai Allah mengkehendaki kemudian Allah angkat (masa kenabian tersebut) jika Allah mengkehendakinya. Seterusnya masa khilafah dengan manhaj kenabian sampai Allah mengkehendaki, kemudian Allah mengangkatnya jika Allah mengkehendakinya. Seterusnya masa raja yang menggigit sampai Allah mengkehendakinya, kemudian Allah mengangkatnya jika Allah mengkehendakinya. Seterusnya masa raja diktator sampai Allah mengkehendakinya, kemudian Allah mengangkatnya jika Allah mengkehendakinya. Seterusnya masa khilafah dengan manhaj kenabian, kemudian diam” (Hadith Riwayat Ahmad)

Mahasiswa Cakna Kewajipan Memilih Pemimpin


Alhamdulillah, melihat trend mahasiswa dewasa ini kelihatan majoriti mahasiswa sedar akan kewajipan memilih pemimpin. Sehingga dalam sirah pernah merekodkan bahawa ketika Rasulullah wafat, berlaku peristiwa Thaqifah Bani Saidah iaitu mesyuarat memilih pengganti pemimpin negara dan umat selepas Rasulullah SAW. Dari catatan sirah ini dapat kita ambil iktibar bahawa memilih pemimpin negara lebih penting daripada urusan pengebumian jenazah Rasulullah SAW yang mulia dan sudah tentu urusan pengebumian itu juga besar kewajipannya.

Begitu juga dengan situasi di Mesir, rata-rata mahasiswa mengambil berat akan isu ini walaupun ada yang sedang berhadapan dengan peperiksaan yang besar. Begitu juga dalam isu lain seperti Palestin, Syria dan terbaru di Myanmar.


Apakah Langkah Seterusnya?


Kemenangan Dr Morsi dilihat permulaan kepada pemerintahan Islam yang sebenarnya. Ia membuka harapan baru kepada rakyat Mesir, khususnya, dan umat Islam, amnya. Harapan tersebut adalah: keselamatan, kebebasan, peraturan, keadilan dan kebajikan. Sudah tentu sebagai pemimpin Islam, menegakkan Islam sebagai prinsip dalam semua hal adalah satu harapan besar umat Islam. Moga itulah natijah yang bakal berhasil.

Kepimpinan amat penting bagi umat Islam. Kepimpinan yang baik dapat menyatukan umat Islam dan dapat menggerunkan musuh. Apabila wujudnya pemimpin, perlu ada yang dipimpin. Umat Islam diajarkan untuk mentaati pemimpin. Rasulullah SAW bersabda,
“Kaum Bani Israel pada zaman dahulu dipimpin oleh para nabi. Setiap kali matinya seorang nabi, penggantinya nabi juga selepasnya.Sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku dan akan berlakunya perlantikan khalifah (yang mengganti nabi bagi memimpin umat), mereka ramai. Para sahabat bertanya, ‘Apakah perintah mu kepada kami?’ Rasulullah SAW menjawab, “Tunaikan baiah (janji ketaatan) kepada yang pertama dan seterusnya. Berilah kepada mereka hak mereka (untuk memerintah). Maka sesungguhnya Allah akan bertanyakan mereka berkenaan urusan mereka yang diminta supaya memimpin.”
Semoga umat Islam bersedia menghadapi cabaran yang bakal dihadapi dan semangat muda mahasiswa tidak dibazirkan untuk bersuka ria dan perkara-perkara lagha.

Kenyataan Bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia Se-Dunia (SMMS)


Tidak ada komentar: