Minggu, 15 November 2009

3 Pusat Pengajian Malaysia Bertemu PKPMI-CA

Pihak PKPMI-CA melalui YDPnya, Al-Akh Mohammad Azzar bin Ismail mengucapkan sekalung penghargaan serta mengalu-alukan kehadiran wakil dari 3 buah pusat pengajian Islam di Malaysia yang sudi meluangkan masa bertemu mahasiswa Malaysia di Aceh dalam kunjungan mereka ke sini.

Rombongan sekitar 10 orang ini adalah dari Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman, Terengganu yang diwakili oleh Tim.Mudirnya iaitu Al-Fadhil Ust Abdul Wahab, Ma’ahad Darul Anuar, Pulau Melaka, Kelantan diwakili oleh Mudirnya sendiri, Al-Fadhil Ust Nik Omar bin Nik Abdul Aziz dan Al-Fadhil Ust Sabri dari UNITI, Negeri Sembilan.

Menurut Ust Nik Omar, kehadiran mereka ke bumi Aceh Darussalam pada Jumaat kelmarin dan akan pulang pada Hari Isnin, esok antara lain adalah dalam rangka untuk menjalinkan kerjasama ( MoU )antara pusat pengajian yang mereka gerakkan di Malaysia dengan IAIN Ar-Raniry, Darussalam, Banda Aceh.

Peluang mengunjungi bumi Aceh dijadikan kesempatan untuk mereka bertemu mata dan beramah mesra dengan mahasiswa Malaysia di IAIN Ar-Raniry yang berada di 3 Fakultas iaitu Ushuluddin, Syariah dan Dakwah. Majlis pertemuan ini dilakukan pada malam tadi sekitar jam 9.00 malam ( 10.00 Malaysia ) dan berakhir jam 10.30 malam dengan diisi tazkirah oleh Al-Fadhil Ust Abdul Wahab serta Ust Nik Omar. Mereka menceritakan pengalaman dalam menggerakkan pusat pengajian masing-masing serta pengalaman masa lalu dalam tempoh menuntut ilmu. Kata Ust Nik Omar, “jika dalam politik, ia tidak boleh terpisah dari kekuasaan..dan dalam pendidikan, ia tidak boleh terpisah dari proses pembentukan manusia..kedua-duanya penting (untuk Islam)”. Sesi dialog turut diadakan antara mahasiswa Malaysia dan anggota rombongan.

Dalam ucapan penutupnya, pengacara majlis yang merupakan pimpinan PKPMI-CA turut menyatakan sikap persatuan yang terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin bertemu dengan mahasiswa Malaysia di sini baik pimpinan dari mana-mana NGO, parti politik dan sebagainya. Katanya, mahasiswa berhak mendengar sesiapa sahaja, kemudian mereka boleh menilai.

Tidak ada komentar: