Minggu, 08 November 2009

PKPMI-CA Anjur Bedah Buku ‘Refleksi Implementasi Syariat Islam di Aceh’

PKPMI-CA melalui Biro Akademik & Penerbitan berjaya melaksanakan program Bedah Buku : Refleksi Implementasi Syariat Islam di Aceh’. Panel jemputan adalah Teungku Hasanuddin Yusuf Adan, Ketua Umum Dewan Dakwah Islam Indonesia ( DDI ) Aceh yang juga merupakan Pembantu Dekan 3 Fakultas Syariah IAIN Ar-Raniry, Aceh Darussalam.

Kehadiran para peserta dikalangan mahasiswa Malaysia diperkirakan menghampiri 70 orang, kata Pengarah Program, Al-Akh Danial bin Kamal. Program dimulai jam 10.00 pagi tadi dan berakhir sekitar jam 12.30 t.hari dengan diselangi sesi soal jawab dari para peserta mahasiswa Malaysia dan juga tayangan klip video pelaksanaan hukum ta’zir kepada pesalah khalwat dan sebatan kepada pesalah minum arak. Turut ditayang, pembenterasan kegiatan pelacuran di Banda Aceh Darussalam.

Dalam pembentangan buku hasil karya beliau tersebut, Teungku Hasanudin antara lain menceritakan sejarah ringkas perjuangan menegakkan Syariat Islam di bumi Aceh sejak sekian lama sehinggalah saat ini yang mengundang polemic yang hangat berikutan tindakan Gubernor Aceh, Irwandi Yusuf baru-baru ini yang tidak mahu menandatangani Qanun Jinayat yang telah disahkan oleh anggota Dewan Perwakilan Rakyat Aceh ( DPRA ). Menurut beliau, dalam peraturan Aceh, jika selepas 30 hari undang-undang yang disahkan tidak ditandatangani, maka ia tetap menjadi sah dan boleh dilaksanakan.

Katanya, perjuangan menenaggakkan Syariat Islam bermula sejak zaman penjajahan Belanda ke atas Indonesia lagi. Perjuangan ini dipelopori oleh seorang ulama karismatik Aceh iaitu Teungku Dawud Beureuh. Belanda gagal menakluk Aceh. Kemudian tiba pula pihak Jepun. Namun, tidak sempat juga menakluk Aceh. Presiden Sukarno dan wakilnya, Hatta saat itu ditawan Belanda dan akhirnya melarikan diri ke Aceh. Berlakukan perjanjian agar rakyat Aceh bekerjasama membantu Indonesia melawan Belanda. Jutaan wang, bahkan emas dikeluarkan oleh rakyat Aceh membantu para pejuang Indonesia menghadapi Belanda termasuklah membeli 2 buah pesawat Garuda Indonesia. Namun, Sukarno mengkhianati perjanjian dan sumpahnya kepada Teungku Dawud Beureuh bahawa Aceh akan diberi hak melaksanakan Syariat Islam jika Indonesia merdeka nanti.

Maka bermulalah peperangan antara pejuang Islam Aceh dengan Tentera Nasional Indonesia ( TNI ) sekitar tahun 1953 – 1962. Perjuangan ini digerakkan atas nama Darul Islam atau Tentera Islam Indonesia ( TII ) pimpinan Teungku Dawud. Para mujahidin dibantai oleh TNI begitu dahsyat. Kemerdekaan Indonesia diproklamasikan pada 17 Ogos 1945.

Perjuangan diteruskan oleh ‘orang-orang lama’ dalam DI/TII. Akhirnya terbentuklah pula Gerakan Aceh Merdeka ( GAM ) yang diketuai oleh Hasan Tiro. Namun, akhirnya perjuangan GAM menjadi semakin tidak jelas. Syariat Islam bukan matlamat lagi, tetapi hanya menuntut kemerdekaan Aceh. Ini berlaku pada tahun 1997 – 2005.

Secara ringkasnya, Syariat Islam diisytiharkan di Aceh pada 1 Muharram 1423 / 15 Mac 2002. Masyarakat bergembira dan maksiat berjaya dikurangkan. Pesalah dihukum dikhalayak ramai. Kajian menadapati 65-70 % rakyat Aceh mendokong pelaksanaannya. Hanya, beberapa kerat pegawai pemerintah yang sudah senang dengan jabatannya, orang-orang Aceh yang tinggal diluar Aceh dan mereka yang kurang pendedahan agama yang masih menolaknya.

Dalam ucapannya, Teungku Hasanuddin menegaskan kekecewaannya terhadap Gubernor Aceh, Irwandi dan juga sikap segelintir ulama’ Aceh yang berdiam diri dalam menghadapi situasi sekarang serta memberi pelbagai alasan dan hujjan yang tidak relevan. Bahkan beliau sendiri dalam kenyataannya mengarahkan Irwandi agar turun sahaja dari jawatan. Segala ranjau dan duri dalam perjuangan menegakkan Syariat Islam di Aceh diluahkan oleh beliau dek kerana terdapatnya campurtangan pelbagai pihak khasnya Jakarta ( Pemerintah Pusat ) dan pihak asing ( Barat ) yang memang tidak mahu melihat Syariat Islam tertegak di Aceh.

Setakat ini, hukuman yang sedang berjalan di Aceh hanyalah ta’zir ( kesalahan selain dari hukum hudud ) dan hukum hudud yang berkaitan dengan arak dan judi sahaja. Hukuman potong tangan belum ada. Hukuman rejam kepada penzina juga belum ada. Jika mereka yang ditangkap kes zina, mereka hanya dihukum atas kesalahan khalwat iaitu dengan hukuman ta’zir seperti disebat dengan beberapa jumlah yang ditentukan oleh pihak berwajib.

Tidak ada komentar: