Minggu, 20 Desember 2009

Daurah Mingguan 2 : Mahasiswa Islam Duta Penyelamat Ummah

Masjid Baitul Muttaqin, Darussalam, Banda Aceh sekali lagi dpenuhi oleh sekitar 50 mahasiswa Malaysia yang menuntut di IAIN Ar-Raniry. Daurah Mingguan kali ke-2 di bawah Biro Dakwah & Pembangunan Insan PKPMI-CA 09/10 mengundang mereka untuk duduk serta mengambil bahagian menjadi pendengar sekaligus peserta daurah.

Program yang bermula jam 09.45 pagi tadi diisi oleh Al-Fadhil Ust Fathurrahmi yang merupakan salah seorang dosen (pensyarah) Jurusan Kimia di Universitas Syiah Kuala (Unsyiah), Banda Aceh. Beliau yang juga mantan anggota Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia (HMI), Lembaga Dakwah Kampus (LDK), Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta satu masa lalu diberi tema “Mahasiswa Islam Duta Penyelamat Ummah: Sebuah Penghayatan Kepada Peristiwa Hijrah untuk dibahaskan di daurah ini pagi tadi.

Dalam ucapannya, Magister (Master) Kimia dari Uni.Gadjah Mada ini mengembalikan ingatan para peserta kepada peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dan membuka minda para pendengar agar memahami peranan yang perlu mereka lakukan sebagai mahasiswa Muslim pada hari ini. Pada sesi menjawab persoalan dari peserta, Ust Fathurrahmi turut menyentuh mengenai ancaman pemikiran (Ghuzwatul Fikriyyah) yang menyerang umat Islam dewasa ini khasnya fahaman sesat Islam Liberal yang terlihat secara jelas melingkari IAIN dan UIN diseluruh Indonesia.

Jam 11.30 pagi, selepas istirehat beberapa minit, para peserta dibentuk kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk acara Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Kali ini, mereka diberi tugasan agar berdiskusi bersama sebuah tema iaitu ‘Apa Sumbangan Kami Untuk Islam?’ berdasarkan kelebihan dan criteria yang dimiliki oleh setiap ahli kumpulan. 6 daripada 7 kumpulan sempat membuat pembentangan diselangi pertanyaan-pertanyaan dan kritikan-kritikan membina dari para peserta lain.

Kesimpulan yang berjaya dibawa pulang dari daurah ke-2 ini kepada para peserta adalah setiap kita wajib berperanan dan memainkan peranan dalam membantu Islam sesuai dengan kemahiran dan bidang masing-masing hasil dari anugerah Allah s.w.t. Daurah berakhir dengan solat Zohor secara berjamaah.

Tidak ada komentar: