Sabtu, 31 Juli 2010

Majlis Pertemuan Mahasiswa dan Kerajaan Negeri Kelantan









Rabu,21 Julai 2010: Sebuah pertemuan antara mahasiswa yang menuntut di Aceh yang bernaung dibawah Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia-Cabang Aceh (PKPMI-CA) telah di atur bersama Datuk Padukan Husam Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor dan 13 orang perwakilan yang mempunyai kedudukan penting dalam pembangunkan negeri Kelantan.
Jadual lawatan kerja beliau dan perwakilan dari Negeri Kelantan Darul Naim ke Aceh pada sebelah paginya adalah menemui Gabenor Nanggroe Aceh Darussalam iaitu Bapak Irwandi Yusuf. Ziarah dan pertemuan tersebut adalah sebagai rangka lawatan dalam mengerat silaturahmi dan melebarkan jaringan ekonomi Islam antara dua negara dengan memperkenalkan sistem kewangan Islam (Dinar dan Dirham) yang telah diguna pakai sejak zaman kegemilangan Islam dahulu lagi.
Majlis pertemuan antara Dato’ Paduka Husam Musa bersama mahasiswa/i diatur selepas solat isyak, sekitar jam 21.00 WIB, bertempat di Training Center Pertubuhan Keluarga Berencana Indonesia (TC PKBI). Pada majlis pertemuan berkenaan, Al-Akh Abdul Ghafur bin Abd Kahar selaku Pengerusi Biro Kesenian & Sukan menjadi pengerusi majlis pada malam tersebut. Majlis dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dialunkan oleh Al-Akh Muhammad Muslim bin Amran selaku Pengerusi Biro Kebajikan, Keselamatan dan Kediaman. Setelah itu, Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Di-Pertua Agung (YDP) PKPMI-CA sesi 2010/2011, Al-Akh Zulkarnain bin Aman Razali. Setelah itu ucapan sulung Dato’ Paduka Husam Musa di bumi serambi Mekah ini. Beliau telah memberikan sedikit sebanyak informasi terkini tentang tanahair kita yang tercinta dan memperkenalkan matawang Dinar dan Dirham.
Ucapan yang begitu bersemangat dari beliau, membakar ruh, semangat dan jiwa mahasiswa/I dalam menabung dan memiliki aset dalam bentuk wang Dinar dan Dirham. Yang mana pada akhirnya, tabiat tersebut bukan sahaja dapat mendatangkan manfaat kepada penyimpan matawang Dinar dan Dirham, bahkan memberikan dampak dan impak yang besar dalam turun naiknya nilai matawang. Bukan itu sahaja, bahkan transaksi tersebut memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi Negara secara khususnya dan ekonomi dunia secara amnya, sekiranya matawang Dinar dan Dirham ini terus diterapkan dan gunapakai secara berterusan.
Tiada lagi muncul konsep riba dalam urusan ibadah Zakat sekiranya transaksi pembayaran zakat menggunakan ain Dinar dan Dirham, berbanding penggunaan wang kertas yang sedia ada kini yang sentiasa menurun kadar nilainya. Apa yang diseru dan disarankan oleh beliau selaku wakil Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim adalah bersesuaian dengan apa yang telah diterapkan dan dilaksanakan pada Zaman Rasulullah dan sahabat baginda. Iaitu pembayaran zakat sama ada zakat fitrah maupun zakat Mal dengan menggunakan matawang Dinar dan Dirham. Ini kerana, nilai dari matawang Dinar dan Dirham bukan sahaja bersifat tetap, bahkan kebarangkalian kadar nilainya akan melonjak dari masa ke semasa dan pada akhirnya mendatangkan manfaat kepada seluruh umat Islam.
Pertemuan ramah mesra ini diakhiri dengan sesi fotografi dan sumbangan dari pihak Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim dalam bentuk wang Ringgit Malaysia dan matawang Dirham. Majlis berakhir pada jam 23.30 WIB dan bersurai.

Tidak ada komentar: